KOTA BHARU - Pencerobohan yang didakwa berlaku di tanah adat Kampung Kelaik, Gua Musang, menyukarkan masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar untuk mengamalkan kepercayaan nomad apabila berlaku kematian dalam kalangan mereka.
Tok Batin, Ahak Uda, 58, yang bertindak sebagai plaintif pertama dalam saman tuntutan tanah adat di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin berkata demikian semasa memberi keterangan sebagai saksi pada hari pertama perbicaraan kes berkenaan.
"Berdasarkan kepada adat kepercayaan Orang Asli suku kaum Temiar apabila berlaku kematian di penempatan tersebut penduduk kampung akan berpindah ke kawasan baru.
"Namun akibat cabaran pencerobohan iaitu aktiviti pembalakan, perlombongan dan perladangan yang dilakukan defendan pertama hingga ke-10, menyukarkan amalan sedemikian,” katanya.
Menurut Ahak lagi, Kampung Kelaik kini didiami seramai 202 penduduk yang membina rumah menggunakan sumber semula jadi seperti buluh dan rotan.
Mereka juga mengusahakan pertanian, memburu, menangkap ikan serta mengutip hasil hutan sebagai sumber makanan dan perubatan tradisional.
"Gajah juga tidak pernah memusnahkan tanaman kami dan kami hidup secara harmoni.
"Kami menduduki dan memiliki tanah ini dari generasi ke generasi, bukan sahaja untuk punca pendapatan tetapi juga bagi tujuan keagamaan upacara kerohanian dan perkuburan sejak turun-temurun,” katanya.
Dalam prosiding itu, pihak plaintif turut mengemukakan bukti termasuk gambar-gambar yang diambil oleh penyelidik mengenai keadaan perkampungan serta aktiviti harian suku kaum Temiar di kawasan terbabit.
Perbicaraan juga mendedahkan bahawa terdapat beberapa batu asas dan peralatan tradisional seperti jed dan batu pisau yang diwarisi daripada nenek moyang mereka yang dipercayai mempunyai fungsi tertentu dalam adat kepercayaan masyarakat itu.
Sebelum ini, saman terbabit difailkan pada tahun 2021 oleh Ahak bersama dua penduduk, Aziz Angah, 37, dan Anjang Uda, 34, sebagai plaintif kedua serta ketiga, mewakili keseluruhan Orang Asli di Kampung Kelaik.
Mereka diwakili peguam, Rajesh Nagarajan, Sachpreetraj Singh dan Ambbi Balakrishnan.
Plaintif-plaintif menamakan 14 defendan iaitu Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd, Redstar Capital Sdn Bhd, Aqua Orion Sdn Bhd, Damai Corporate Services Sdn Bhd, Sindiyan Sdn Bhd dan Sindiyan Agro Park Sdn Bhd.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah Ladang Kelantan Sdn Bhd, Ikrar Bumi Sdn Bhd, Ladang Ulu Nenggiri Sdn Bhd, Iliasco Engineering dan Construction Sdn Bhd, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Jabatan Perhutanan Kelantan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) serta Kerajaan Negeri Kelantan.
Plaintif menuntut mahkamah mengisytiharkan mereka sebagai pemilik sah tanah adat Kampung Kelaik dan menghalang sebarang aktiviti pencerobohan di kawasan tersebut.
Perbicaraan bersambung pada Selasa.