Jual biskut raya harga 'rahmah' RM10

Iklan
Sebahagian pelanggan yang datang ke Syurga Cookies Homemade di Kampung Gangsa, Durian Tunggal.

ALOR GAJAH - Meskipun dihimpit kenaikan kos bahan mentah namun seorang peniaga biskut raya masih mengekalkan harga jualan 'rahmah' serendah RM10 sebalang.

Azie Izhar, 39, yang mengusahakan Syurga Cookies Homemade di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, berkata, keputusan tersebut dibuat selepas menyedari kebanyakan pelanggannya terdiri daripada golongan B40.

Iklan
Iklan

Menurutnya, harga ditetapkan itu membolehkan mereka yang berpendapatan rendah mampu membelinya sekali gus memberi peluang kepada dirinya untuk berniaga sambil mengutip pahala sedekah.

Katanya, biskut raya yang dijual itu adalah hasil tangan golongan asnaf yang mahu menambah pendapatan sepanjang Ramadan ini.

Iklan

"Walaupun kedai ini kecil namun ia memberi pelbagai pilihan biskut raya kepada pelanggan.

"Lebih penting setiap keping biskut dan kuih di kedai ini adalah hasil titik peluh golongan asnaf yang ingin mengubah kehidupan mereka," katanya ketika ditemui di Kampung Gangsa di sini pada Isnin.

Iklan
Azie (kanan) dibantu suaminya, Azley Alias, 42, mengushakan biskut raya rahmah di Kampung Gangsa di sini, pada Isnin.

Tambah Azie, idea untuk membuka kedai biskut raya mampu milik itu tercetus pada tahun 2017 apabila dia cuba membantu asnaf yang terdiri daripada ibu tunggal menjana pendapatan sendiri sepanjang Ramadan.

Ujarnya, golongan itu hanya perlu menyediakan biskut raya manakala urusan berkaitan promosi dan jualan dalam talian diuruskan olehnya.

"Ketika itu hanya secara kecil-kecilan dan belum ada kedai seperti ini sehinggalah mendapat sambutan menggalakkan.

"Bila ramai asnaf yang mahu hantar dan pemintaannya juga tinggi jadi saya fikir sudah tiba masanya untuk memiliki kedai sendiri," katanya lagi.

Jelasnya, biarpun kedai tersebut menghimpunkan pelbagai jenis biskut raya, namun kualiti dan keunikan setiap produk tetap diutamakan.

"Setiap biskut raya akan melalui proses uji rasa sebelum dijual, malah vendor juga tidak boleh menghantar kuih yang sama.

"Jualan ini bukan hanya keuntungan semata-mata tapi kita nak pelanggan menikmati kuih yang bukan sahaja sedap tetapi berkualiti," ujarnya lagi.