TAMPIN - Seorang anggota polis menemui ajal apabila motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 9 Jalan Gemencheh - Batang Melaka, di sini pada Ahad.
Kejadian jam 7 malam itu berlaku ketika mangsa berusia 33 tahun dalam perjalanan ke Kuarters Balai Polis Tanjung Ipoh dari Simpang Renggam, Johor.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, ketika kejadian, mangsa sedang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR seorang diri.
"Siasatan awal mendapati, mangsa cuba memotong kenderaan berada di hadapannya namun telah berlanggar dengan sebuah lori jenis Hino dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun dari arah bertentangan.
"Pemandu lori cuba mengelak tetapi terlanggar juga penunggang motosikal tersebut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat yang dijangka akan dilakukan pada jam 10 pagi ini.
"Kertas siasatan telah dibuka dibawah sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan jalan raya terbabit diminta untuk tampil ke Balai Polis Trafik IPD Tampin atau hubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Nurul Afiqah Aqwa Haslan di talian 06-4412502 bagi membantu siasatan," katanya.