SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor bersedia menghulurkan bantuan kepada keluarga pelajar yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jordan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut yang membabitkan dua pelajar wanita dari Selangor iaitu Sumayya Azamuddin dan Fatimah Nuha Mustaza.
"Saudari Sumayya dilaporkan mengalami cedera ringan manakala Fatimah Nuha mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan lanjut di hospital.
"Pejabat saya telah berhubung dengan waris serta keluarga pelajar yang terlibat dan akan terus memantau keadaan mereka dari semasa ke semasa.
"Insya-ALLAH, Kerajaan Selangor bersedia menghulurkan bantuan kepada keluarga pelajar terbabit. Marilah kita sama-sama mendoakan kesembuhan mereka agar dapat pulih seperti sedia kala," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini dilaporkan, empat pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Mu’tah, Jordan mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di negara itu pada malam Sabtu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled berkata, dua daripada pelajar terbabit berasal dari Johor dan merupakan pelajar tahun pertama dalam bidang Fiqh Wa Usul di universiti berkenaan.
Menurutnya, kedua-dua pelajar dari Johor itu ialah Muhammad Zaqwan Azhar Masjudin dan Muhammad Ilham Dzurlkarnian @ Zulkarnian.