PAPAR - Program Servis Ihsan Madani@Petronas AutoExpert (SIM@PAX) yang dilaksanakan di bawah agenda Payung Rahmah Madani perluaskan ke Sabah dan Sarawak untuk musim perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program itu salah satu ikhtiar untuk membantu menangani kos sara hidup rakyat termasuk di Sabah.
Menurutnya, melalui program SIM@PAX itu melibatkan ihsan daripada sektor korporat yang bekerjasama dengan kerajaan khususnya KPDN dengan menawarkan servis kenderaan pada kadar diskaun di antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa di semua premis Petronas Auto Expert.
"Di seluruh negara ada 96 premis dan di Sabah yang terlibat untuk program ini untuk tempoh musim perayaan Aidilfitri ini adalah sebanyak lima premis yang memberikan perkhidmatan servis kereta termasuk produk minyak pelincir jenis mineral dan semi sintetik tulen.
"Kali ini, kita perluaskan di Sabah Sarawak kerana banyak kenderaan menggunakan diesel dan salah satu penambahbaikan kita adalah dengan perluaskan untuk kenderaan diesel terlibat.
"Jadi saya merakamkan terima kasih kepada Petronas kerana telah tampil dalam salah satu lagi program mereka berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama kerajaan untuk kita menangani isu kos sara hidup rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program SIM@PAX Hari Raya Aidilfitri Serta Ikhlas Ramadan Bersama Gas Petronas di Dewan Terbuka Tapak Tamu Mingguan Papar di sini pada Sabtu.
Ahli Parlimen Papar itu berkata, usaha membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat dilaksanakan dalam pelbagai kaedah.
"Ini termasuk melalui bantuan tunai, program keusahawanan dan kali ini secara terus untuk meringankan beban mereka yang menghadapi musim perayaan khususnya yang mungkin mahu melakukan perjalanan jauh dan memerlukan servis kenderaan mereka.
"Tawaran ini terbuka kepada semua dan boleh mula buat tempahan bermula petang ini juga di aplikasi Setel manakala servis akan bermula 15 hingga 29 Mac ini.
"Jadi saya mengajak seluruh masyarakat kita supaya memanfaatkan program ini untuk musim perayaan Aidilfitri," katanya.