Melayu rajin dan bermaruah

Iklan
MUTAKHIR ini, al kisah Melayu dianggap malas muncul kembali. Ia sebagai suatu hikayat yang membuai dengan skrip yang masih lagi serupa mengatakan Melayu malas atau lazy.

Betulkah kenyataan ini? Kenapa mitos ini muncul kembali? Memang disengajakan atau sekadar menyalah bangsa sendiri?Imej atau citra tentang kemalasan golongan peribumi pernah digembar-gemburkan oleh para penjajah dulu.

Momokan Melayu malas ternyata menghalalkan pihak penjajah terus menjajah bukan sahaja fizikal tetapi juga pemikiran dan menempelkan bahawa Melayu malas dan bodoh!

Ya mungkin ada kebenarannya ketika itu. Tiada pemodenan, inovasi dan produktiviti. Malah bahasa begitu agak janggal didengari. Namun Melayu ketika itu melakukan apa sahaja untuk sesuap nasi.

Dalam hal ini, para penulis kolonial melemparkan tuduhan atau hujah ideologi mereka berdasarkan faktor iklim dan lingkungan tropika yang dianggap sebagai punca utama kemalasan golongan peribumi. Bekerja sebagai nelayan dan petani merupakan sumber pencarian sekadar kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang.

Pemikir Melayu tersohor, Syed Hussein Alatas menyangkal semua anggapan tersebut dan menunjukkan bukti bahawa golongan peribumi masyarakat Indonesia, Malaysia dan Filipina bekerja keras untuk hidup sebagai manusia.

Bersetujukah anda, Melayu masih dianggap malas sekarang ini? Atau Melayu langsung tiada kemajuan, tiada yang menjadi juara dalam pelbagai bidang, atau sahaja"hide” atau melenyapkan kenyataan bahawa Melayu bukan lagi bangsa yang malas?

Pengamatan dan kajian saya menunjukkan bahawa Melayu sebenarnya hebat, kuat dan telah mencipta kecemerlangan sejak dahulu lagi.

Masakan tidak Kerajaan Melaka telah melebarkan jajahan takluknya hingga ke Nusantara dan ke China. Begitu juga kegemilangan Kerajaan Johor-Riau dan lainnya.

Namun akibat sengketa sesama bangsa, persoalan dengki dan juga saling bermusuhan menjadikan Melayu semakin lemah. Bukan kerana malas tetapi persoalan tidak boleh bersatu dan berpakat untuk meningkatkan martabat bangsa.

Lihat sahaja apa yang berlaku dalam bidang perniagaan dan ekonomi. Malah dalam politik sejak dahulu hingga kini Melayu masih lagi tidak menonggak perpaduan dan maruah bangsa sebagai suatu"jihad” yang sepatutnya diutamakan. Susah sangat untuk politik Melayu bersatu yang dapat kita saksi sekarang ini.

Maka, tuduhan bahawa Melayu masih malas perlu difikirkan semula. Walaupun mungkin untuk menyedarkan bangsanya, namun perlu ada reverse psychology iaitu sepatutnya mengungkap"Melayu Bangsa Rajin dan Bermaruah”. Atau lebih tepat Melayu sebenarnya masih lagi"bersengketa dan berdengki sesama bangsa”!

Saya lebih suka dengan memberikan hujah siapa itu Melayu. Tak perlulah nak saya nyatakan berapa pakar, profesor, doktor dan jurutera Melayu yang ada.

Saya akhiri penulisan ini dengan beberapa petikan ungkapan puisi Dato' Dr Usman Awang berbanding dengan data yang dianggap ‘clise” bagi sesetengah pihak. Fikirkan.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:

Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu

Banjar juga disebut Melayu,

Minangkabau memang Melayu,

Keturunan Acheh adalah Melayu,

Jakun dan Sakai asli Melayu,

Arab dan Pakistani, semua Melayu

Mamak dan Malbari serap ke Melayu

Malah mua'alaf bertakrif Melayu

(Setelah disunat anunya itu)


Dalam sejarahnya

Melayu itu pengembara lautan

Melorongkan jalur sejarah zaman

Begitu luas daerah sempadan

Sayangnya kini segala kehilangan

Malangnya Melayu itu kuat bersorak

Terlalu ghairah pesta temasya

Sedangkan kampung telah tergadai

Sawah sejalur tinggal sejengkal

tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga

Tangan masih memegang tali

Sedang orang mencapai timba.

Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti

Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu

Menikam dengan pantun

Menyanggah dengan senyum

Marahnya dengan diam

Merendah bukan menyembah

Meninggi bukan melonjak.

Berdamai cara Melayu indah sekali

Silaturrahim hati yang murni

Maaf diungkap senantiasa bersahut

Tangan diulur sentiasa bersambut

Luka pun tidak lagi berparut

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu

Masihkan tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang

Jika pantang menghalang kemajuan;

Jangan segan menentang larangan

Jika yakin kepada kebenaran;

Jangan malu mengucapkan keyakinan

Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana

Memegang tali memegang timba

Memiliki ekonomi mencipta budaya

Menjadi tuan di negara Merdeka"


* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, UiTM

Iklan
Iklan

Iklan

Iklan