Pesara tentera maut, anak parah dirempuh kereta

Iklan
Kemalangan maut yang membabitkan sebuah motosikal dan kereta Honda Civic di Jalan Dato Kayaman, Beseri dekat Padang Besar pada Jumaat.

KANGAR - Seorang pesara tentera maut, manakala anak lelakinya cedera parah apabila motosikal yang dinaiki mereka, dirempuh sebuah kereta Honda Civic di Jalan Dato Kayaman, Beseri dekat Padang Besar, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintenden Sarih Salleh berkata, dalam kejadian pada 7.45 malam itu, mangsa berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya berusia 16 tahun yang merupakan pembonceng motosikal sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun yang bekerja sebagai pencuci kereta dari arah Jalan Dato Kayaman-Jejawi, dipercayai bergerak pada kelajuan tinggi sebelum hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang motosikal dinaiki dua beranak itu.

"Akibat hentaman kuat, motosikal tersebut terbabas dan melanggar tiang lampu jalan manakala kereta terbabas melanggar tembok longkang di arah bertentangan. Pemandu Honda Civic mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di HTF,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Sarih berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Muzammil Zamree di talian 04-9490222. - Bernama