Kuljanac tabik semangat juang pemain KL City

Iklan
Josue meledak dua gol buat KL City di Alor Setar. Foto KL City FC

PENGENDALI Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Miroslav Kuljanac meluahkan rasa bangga dan kagum dengan semangat juang anak buahnya selepas berjaya menumpaskan Kedah Darul Aman (KDA FC) 3-2 di Stadium Darul Aman.

Walaupun berdepan pelbagai ranjau, termasuk pemotongan enam mata yang mencetuskan kontroversi, beliau menegaskan The City Boys membuktikan mereka memiliki kualiti yang luar biasa sepanjang musim ini.

Iklan
Iklan

"Perlawanan ini sangat mencabar. Kami dan Kedah masing-masing bergelut dengan masalah.

"Kami mencipta banyak peluang di babak pertama, namun gol awal Kedah sedikit menggugat keyakinan kami.

Iklan

"Walaupun tenaga kami menyusut di separuh masa kedua, kami berjaya mengutip tiga mata berharga," katanya pada sidang akhbar pada malam Jumaat.

KDA FC terlebih dulu mendahului menerusi Milos Gordic (m-25), sebelum kapten KL City FC, Paulo Josue menyamakan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa pertama (m-47).

Iklan

Pada separuh masa kedua, Josue sekali lagi meletakkan pasukannya di hadapan (m-62), tetapi tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi Mohd Fadzrul Danel Nizam (m-65) sebelum Sean Gan Giannelli muncul wira pelawat dengan gol pada minit ke-85.

Sementara itu, Kuljanac turut menyentuh tentang pemotongan mata yang dikenakan terhadap The City Boys pada musim ini.

"Dengan kutipan 34 mata selepas 21 perlawanan, walaupun dipotong enam mata, ia adalah pencapaian yang menakjubkan.

"Para pemain juga telah menunjukkan rasa cinta dan bangga mereka terhadap kelab ini," katanya.

Tambah beliau, sekiranya tiada pemotongan mata, ia pasti bukan misi mustahil buat KL City FC untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik Liga Super pada musim ini.

"Kami akan terus berjuang dan memberikan yang terbaik.

"Kami telah membuktikan karakter kami sepanjang musim ini, walaupun berdepan pelbagai rintangan," katanya lagi.