PERNAH melalui zaman kegemilangan suatu masa dulu, penyanyi era-90 Shahrim Sallehudin, 60, atau Syeqal pasrah yang hidupnya kini berubah sekelip mata sejak diuji dengan masalah kesihatan lima tahun lalu.
Dia yang pernah popular dengan lagu Cinta Nusantara kini tidak lagi mampu bekerja sejak diserang angin ahmar dan sekarang menghidap penyakit buah pinggang tahap empat.
Menurutnya, keadaannya sudah beransur pulih, namun fizikalnya tidak lagi kuat seperti dulu.
"Kalau mula-mula dulu, saya tak boleh bergerak langsung selepas empat kali diserang strok, tapi Alhamdulillah saya tak kena macam orang lain yang pipi dan mulutnya herot.
"Saya cuma mengah dan tak kuat untuk berjalan. 'Ubat' saya hanya berselawat 10,000 kali sehari dan jaga makan," katanya ditemui di rumah sewanya di Senawang pada Jumaat.
Ujarnya, dia juga perlu membuat rawatan susulan dua bulan sekali di Klinik Kesihatan Ampangan dan Hospital Tuanku Jaafar selain, kemungkinan perlu membuat rawatan dialisis.
Disebabkan itu katanya, dia terpaksa bergantung harap sepenuhnya kepada isteri dan ihsan bantuan pelbagai pihak termasuk rakan artis.
"Saya juga dapat bantuan bulanan RM600 daripada Baitulmal dan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.
Selain itu kata Syeqal, dia kini mahu berkarya dalam bidang seni sebagai seorang penulis.
"Sebelum ini orang kenal saya sebagai penyanyi, sekarang saya mahu dikenali sebagai seorang penulis.
"Peringkat akhir ini, sebelum saya meninggal, saya nak buat buku syair keagamaan dan dah hasilkan tujuh buku. Sekarang saya sedang cari penerbit," katanya.
Terdahulu, Syeqal menerima kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Dong yang juga Exco Komunikasi dan Multimedia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.
Beliau yang mewakili kerajaan negeri Pahang turut menyampaikan sumbangan RM5,000 bagi membantu kos rawatan Syeqal.
Sementara itu, Fadzli berkata, kehadirannya bertemu penyanyi terbabit adalah sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib menimpa penyanyi terbabit yang juga berasal dari negeri Pahang.
"Ini sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesusahan yang menimpa anak-anak rantau Pahang yang berada di luar Pahang.
"Jadi kepada yang memerlukan sokongan dan bantuan daripada kerajaan negeri Pahang boleh berurusan terus dengan Sekretariat Perantau Anak Pahang," katanya.
Dalam pada itu Syeqal meluahkan rasa syukur atas bantuan diterima dan menyifatkannya sebagai paling bermakna.
"Inilah bantuan paling bermakna yang saya tunggu dari dulu. Ini satu benda yang sangat memberi semangat kepada saya.
"Maklumlah orang sakit, perlukan semangat. Bantuan ini bukan saja sekadar duit, tapi sebenarnya bantuan semangat," katanya.
Dia yang mempunyai dua anak berusia 20 dan 21 tahun turut berharap dapat menghabiskan baki hidupnya di kampung halamannya di Raub, Pahang.
Katanya, sudah tiba masanya untuk dia kembali ke negeri asalnya selepas hidup merantau sejak berusia 19 tahun.
"Sekarang ini saya hanya tinggal menyewa dan sewa itu pun kami bayar dengan duit sumbangan yang ada kalanya saya tidak tahu ALLAH datangkan dari mana," katanya dalam.