SHAH ALAM - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tetap akan meneruskan prosiding meskipun Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 telah melabuhkan tirainya pada Khamis.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, PAC mengambil kesempatan untuk mengadakan mesyuarat dan prosiding sewaktu sidang Dewan Rakyat berlangsung.
Malah, menurutnya, sebanyak 46 kali mesyuarat dan prosiding dilaksanakan tidak termasuk dua kali sesi pendengaran awam di Pulau Pinang serta Parlimen.
"Ini menjadikan jumlah kesemuanya 48 kali. PAC turut membentangkan tujuh laporan sewaktu sidang dewan kali ini, yang terbaharu adalah berkaitan Laporan Tindakan Susulan Perolehan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Sidang dewan berakhir setelah 18 hari bersidang dan alhamdulillah kehadiran saya 100 peratus. Walaupun selesai bersidang, kami akan teruskan prosiding kerana masih ada yang perlu diteruskan. Insya-ALLAH Isnin ini kami sambung semula," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Pada Khamis, PAC mendedahkan terdapat kejanggalan apabila KDN mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) sebelum memuktamadkan terma dan kaedah perolehan FWCMS.
Ia antara rumusan hasil tiga prosiding yang dijalankan pada 10 Disember 2024, 21 Januari 2025 dan 3 Februari 2025 berhubung isu perolehan sistem itu.
Jelas Mas Ermieyati, KDN gagal memuktamadkan perjanjian berikutan pertikaian berhubung kadar caj patut dikenakan kepada majikan bermula 1 April 2018 sehingga kontrak tamat pada 31 Mei 2024 sepertimana dinyatakan dalam SST.
Justeru, PAC mengesyorkan KDN memaklumkan mengenai mekanisme kutipan caj RM215 dan kaedah pembayaran kepada Bestinet yang telah dimuktamad serta diluluskan sebagai cadangan penambahbaikan.
KDN juga dikehendaki menjelaskan kaedah terbaik dalam mengoptimumkan FWCMS sehingga 2031 memandangkan pembangunan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) dijangka siap pada 2028.