KONTROVERSI yang melanda tiga penyampai stesen radio Era FM, Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin berhubung dakwaan mempersendakan agama lain menerima reaksi pelbagai daripada rakyat Malaysia.
Meskipun mendapat kecaman hebat pada awalnya, rata-rata berpendapat mereka wajar diberikan peluang kedua.
Bukan hanya dari rakan sekaum, bahkan beberapa pempengaruh berbangsa India juga merasakan isu berkenaan tidak perlu diperbesarkan lagi.
Malah rakan selebriti juga dilihat tidak putus-putus memberi sokongan dan dorongan kepada ketiga-tiga penyampai radio itu.
Berikut antara kata-kata semangat yang dikongsikan rakan selebriti menerusi akaun media sosial masing-masing.
Sharnaaz Ahmad
AKTOR dan usahawan, Sharnaaz Ahmad menyifatkan tindakan tiga penyampai radio segmen 3 Pagi Era itu mengaku salah serta meminta maaf sebagai tindakan berani.
Walaupun tidak menafikan kesilapan yang dibuat, Sharnaaz melihat tiga selebriti itu boleh diberi pujian dan wajar diberi peluang kedua.
"Saya tahu anda bertiga sekarang dalam keadaan yang sangat ‘down’. Di sini, apa yang kalian buat adalah salah, sangat salah.
"Jangan sesekali kita mempermainkan apa-apa agama di Malaysia. Sebab itu bukan budaya orang Malaysia. Kita hormat dan berkawan dengan setiap bangsa yang ada.
"Tapi saya tetap perlu beri ‘respect’ kepada kalian bertiga sebab berani mengaku salah dan mengaku sudah buat satu kesilapan yang besar. Termasuk berjumpa dengan orang yang sepatutnya dan minta maaf
"Setiap manusia buat silap dan orang yang mengaku silap mereka wajib kita beri peluang kedua, itu sahaja," katanya menerusi hantaran video di akaun media sosial miliknya.
Malah Sharnaaz turut meniupkan kata-kata semangat buat Nabil, Azad dan Radin untuk kembali lebih kuat.
"Kami sebagai orang Islam dan Melayu, akan sentiasa berada di belakang kalian semua. Cuma apa yang kalian buat tetap salah dan kesilapan telah diakui. Bagi aku benda itu adil.
"Kepada rakan-rakan India yang aku sayang, manusia buat silap dan mereka sudah meminta maaf. Kita ‘move forward’ dan bersatu kembali,” ujarnya pada akhir video.
Azhar Sulaiman
AKTOR, arkitek dan pereka terkenal, Azhar Sulaiman turut menyifatkan manusia tidak lari daripada membuat kesilapan dan sebagai figura yang berada di depan kamera, kadang-kala terlebih dalam perbuatan serta percakapan.
Justeru sebagai orang lama dalam industri, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu tidak bersetuju Nabil, Azad dan Radin dikenakan tindakan.
"Saya berani cakap, apa yang pasti berdasarkan sikap mereka sebelum insiden 3 Pagi Era, mereka bukan rasis, mereka tiada masalah bekerja dengan semua kaum.
"Mereka junjung al-Quran dan undang-undang negara tetapi sebagai manusia mereka tidak lari dari buat silap dan khilaf.
"Artis ini termasuklah saya, kalau depan kamera kadang-kala kami bertindak di luar kewarasan dengan perbuatan dan percakapan kami," ujarnya dalam hantaran di media sosial miliknya.
Namun Azhar berpendapat, insiden itu mungkin boleh dielakkan sekiranya pihak yang sepatutnya membuat tapisan apa yang wajar di muat naik menerusi akaun sosial media mereka.
"Sudah menjadi standard praktis untuk pihak penyiar atau editor atau pengarah memastikan tapisan apa yang boleh atau tidak boleh dimuat naik ke media sosial.
"(Jadi) kurang bersetuju mereka dikenakan tindakan sebab mereka adalah 'kandungan' pihak penyiar atau pihak yang memuat naik hantaran di ke media sosial," jelasnya.
Damian Mikhail
Sementara itu, penyanyi Damian Mikhail mendoakan segala urusan Nabil, Azad dan Radin dipermudahkan serta digandakan pahala, baraqah dan hikmahNYA.
Damian turut memuji sikap ketiga-tiga penyampai itu yang memohon maaf dan mengakui kesilapan.
"Bila buat silap, mohon maaf. Ikhlas dan jujur. Itulah cara Muslim. Manusia tidak bebas dosa atau kesilapan
"Islam juga mengajar umatnya menjadi pemaaf. Bila orang benar-benar ikhlas memohon maaf, kita maafkan mereka
Begitu indahnya Islam," katanya menerusi hantaran di InstaStory miliknya.
Kiah Propa
PELAKON dan usahawan, Kiah Propa atau nama sebenarnya Siti Rokhaida Abdul Khalil, 45, yang baharu sahaja menjadi tetamu di segmen 3 Pagi Era juga mendoakan yang terbaik.
Tegas Kiah, dia percaya Nabil, Azad dan Radin tidak berniat untuk mempersendakan agama lain dan berharap keadaan akan jernih semula.
"Saya doakan kamu agar semua keadaan akan jadi jernih semula. Saya tahu kamu semua tidak sengaja. Saya sayang kamu semua," kongsinya ringkas.