KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Barisan Nasional (BN) menegaskan gabungan itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang didakwa membabitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya tidak menerima sebarang pemakluman berhubung cubaan mana-mana pihak mengaitkan kes berkenaan dengan BN.
"Setakat ini, tak adalah yang kita dengar hal sedemikian (mana-mana pihak mengaitkan kes Ismail Sabri dengan BN).
"Seperti dimaklumkan, jika terdapat sebarang isu yang berkaitan dengan individu dalam parti, ia tidak ada kaitan dengan BN.
"Isu membabitkan individu biarlah diuruskan oleh individu terbabit, tetapi yang penting biarlah proses berjalan seperti dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi,” katanya pada sidang media di Parlimen pada Khamis.
Terdahulu, UMNO turut menegaskan bahawa parti itu tiada kaitan dengan penemuan sejumlah besar wang tunai serta jongkong emas dalam siasatan SPRM terhadap bekas Naib Presiden UMNO itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu memandang serius sebarang cubaan untuk mengaitkannya dengan siasatan SPRM dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba mengheret UMNO ke dalam isu berkenaan.
Siasatan SPRM terhadap Ismail Sabri berkaitan dengan perbelanjaan serta perolehan dana bagi kempen promosi Keluarga Malaysia sewaktu pentadbirannya sebagai Perdana Menteri.
Ahli Parlimen Bera itu dijangka hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, esok.
Setakat ini, SPRM telah merekodkan keterangan daripada 31 individu serta membekukan 13 akaun bank yang dianggarkan berjumlah RM2 juta.
Turut dilaporkan, serbuan SPRM ke atas sebuah premis yang dikaitkan dengan beberapa pegawai bekas Perdana Menteri itu telah menemui kira-kira RM170 juta wang tunai serta 16 kilogram jongkong emas.
Sementara itu, Anwar dalam kenyataan semalam menafikan dakwaan bahawa siasatan terhadap Ismail Sabri bermotifkan politik.