Pemilik syarikat didenda RM180,000 guna dokumen palsu tuntut insentif Penjana Kerjaya

Iklan
Seorang pemilik syarikat didenda RM180,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana menggunakan dokumen palsu untuk menuntut insentif Penjana Kerjaya, lima tahun lepas. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang pemilik syarikat melatih pekerja didenda RM180,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis kerana menggunakan dokumen palsu dan menipu bagi menuntut insentif di bawah program Penjana Kerjaya, lima tahun lepas.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu ke atas pemilik syarikat Ingenious Vision, Mohd Azlan Sinin, 47, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 45 bulan jika gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Azlan didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu tandatangan seorang wanita pada borang pengesahan pekerja program Insentif Pengambilan Pekerja di pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jalan Tun Razak di sini pada 15 Mac 2021.

Iklan

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, Mohd Azlan didakwa memperdayakan tiga pegawai perkhidmatan pekerja PERKESO untuk mempercayai bahawa 56 orang dalam senarai pekerja di Data Penjana Kerjaya 1.0 adalah pekerja di syarikat tertuduh sedangkan mereka tidak lagi bekerja di syarikat berkenaan.

Iklan

Perbuatan itu telah mendorong ketiga-tiga pegawai terbabit menyerahkan wang RM169,400 pada 28 November dan 18 Disember 2020 di Maybank Cawangan Setapak, Jalan Genting Klang di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mohd Aliff Shaharuzaman memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh, namun peguam Dennis Micheal merayu hukuman rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga. - Bernama

>