KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis mengeluarkan perintah sekatan terhadap Putera Arab Saudi, Putera Faisal Turki Bandar Al Saud dan bekas penasihat media kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Paul Geoffrey Stadlen, dalam urusan saham dan dana yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di luar negara.
Hakim K Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan dua permohonan berasingan yang dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan aset 1MDB.
Pendakwaan memohon agar dua individu itu dihalang daripada mengakses akaun bank dan saham masing-masing di luar negara.
Permohonan itu difailkan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Perintah larangan berkenaan membabitkan wang melebihi AS$4.5 juta yang didakwa dalam akaun bank Putera Faisal di Riyadh, Arab Saudi, dan 12 juta saham milik Stadlen yang kini dipegang syarikat pengurusan aset di United Kingdom (UK).
Mahadi berkata, wang dalam akaun di Riyadh dipercayai berasal daripada dana yang diselewengkan dari 1MDB termasuk saham Stadlen, dikatakan dibeli, dengan mencecah lebih AS$100 juta.
"Dana itu didakwa berasal daripada tiga projek iaitu infrastruktur utama, iaitu Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Gas Trans-Sabah dan Saluran Paip Pelbagai Produk,” katanya.
"Kami juga memohon perkara yang sama untuk hartanah di luar Malaysia milik Putera Faisal membabitkan AS$4.5 juta yang disimpan di Bank Riyadh.
"Afidavit oleh pegawai penyiasat menyatakan wang itu diperoleh daripada dana 1MDB,” katanya.
Selepas prosiding, Mahadi berkata, perintah kepada kerajaan Saudi akan diterjemahkan ke dalam bahasa Arab sebelum disampaikan oleh Peguam Negara kepada rakan sejawatannya dari Arab Saudi dan United Kingdom.
Pada 20 Februari 2019, Stadlen, didakwa secara ‘in absentia’ iaitu tanpa kehadirannya di Mahkamah Kuala Lumpur di sini atas tuduhan mengubah wang haram berjumlah RM15 juta.
Bagaimanapun pada Julai 2021, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam satu kenyataan berkata Stadlen bersetuju untuk melepaskan RM7,192,873.84 secara sukarela kepada 1MDB, berdasarkan persetujuan dengan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Pada 12 Disember 2024, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan untuk menyekat PetroSaudi International Ltd (PSI) dan Ketua Eksekutifnya, Tarek Obaid daripada menggunakan dana AS$340 juta (RM1.61 bilion) yang dikaitkan dengan 1MDB.
Tarek bersama-sama seorang pengarahnya, Patrick Mahony masing-masing dihukum penjara tujuh dan enam tahun atas kesalahan penyelewengan di Switzerland berkaitan dengan dana 1MDB.
Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland di Bellinzona, memutuskan bahawa mereka terbabit dalam penipuan terhadap dana terbabit.
PetroSaudi ialah syarikat penerokaan dan pengeluaran minyak Arab Saudi berpangkalan di Geneva.
Tarek mempunyai dua kerakyatan Switzerland-Arab Saudi manakala Mahony memiliki dwikerakyatan Switzerland-British.
Dana 1MDB pada asalnya bertujuan untuk mempromosikan pembangunan ekonomi Malaysia, tetapi kira-kira 10 tahun lalu, penipuan bernilai berbilion dolar dalam dana kekayaan negara itu telah didedahkan.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menganggarkan bahawa sebanyak AS$4.5 bilion telah dicuri daripada dana itu.