KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengesan video iklan pelaburan disyaki palsu di Facebook dengan memaparkan Elon Musk dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bagj memperdayakan orang ramai.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, iklan itu memaparkan video laporan berita tentang skim pelaburan yang terbuka untuk rakyat Malaysia.
'Skim tersebut yang kononnya diperkenalkan oleh Elon Musk hanya memerlukan orang ramai membuat pelaburan serendah RM1,200 dan memperoleh keuntungan sehingga RM100,000 sebulan.
"Antara lain, skim pelaburan tersebut didakwa telah diluluskan oleh kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
"Bagaimanapun, kita yakin, video yang memaparkan dua individu itu adalah palsu dan dihasilkan melalui teknologi 'deepfake'' bagi mengelirukan mangsa.
"Semakan lanjut mendapati, pautan yang disertakan pada iklan skim pelaburan tersebut akan membawa pengguna ke satu lagi laman Facebook lain," katanya.
Beliau berkata, menurut keterangan di laman tersebut, skim pelaburan yang ditawarkan
adalah menggunakan platform 'Quantum AI'.
"Sesiapa sahaja boleh menyertai pelaburan tersebut walaupun tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkaitan pelaburan.
"Orang ramai yang berminat akan diminta
mengisikan nama, emel dan nombor telefon di ruangan yang disediakan dan pihak penganjur pelaburan akan menghubungi mereka untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Ramli berkata, taktik memaparkan iklan melalui laman sosial, memanipulasi video individu terkenal adalah untuk memperdayakan mangsa.
"Mangsa akan meninggalkan nama serta nombor telefon dan seterusnya sindiket menghubungi individu berkenaan untuk menerangkan perihal pelaburan.
"Ia merupakan modus operandi yang lazim digunakan oleh sindiket penipuan pelaburan," katanya