KULAI - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di persimpangan lampu isyarat di Kilometer (KM) 42, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, di sini pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi melalui kaunter aduan trafik, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kulai.
"Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan tiga kenderaan, iaitu sebuah kenderaan pacuan empat roda dan dua motosikal.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun gagal berhenti apabila lampu isyarat bertukar merah.
"Akibatnya, kenderaan tersebut merempuh dua motosikal yang ditunggang seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun serta seorang wanita warga tempatan berusia 44 tahun.
"Penunggang motosikal lelaki mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara penunggang motosikal wanita mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dan tangan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kulai, Inspektor Mohamad Firdaus Mustaffa di talian 011-26081008 bagi membantu siasatan.