SHAH ALAM - Ikatan Komuniti Selamat menggesa penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang bakal dibentangkan di Parlimen mengambil kira tiga pertimbangan utama bagi menangani kekurangan perlindungan serta faedah pekerja sektor itu khususnya dalam perkhidmatan panggilan dan penghantaran makanan.
Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pertimbangan berkenaan dari segi jaminan kewangan dan perlindungan sosial, keselamatan jalan raya dan syarat kerja serta kontrak yang adil dan penyelesaian pertikaian.
"Dari segi jaminan kewangan dan perlindungan sosial, pekerja gig harus berhak mendapat perlindungan sosial yang terstruktur di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Skim Insurans Pekerjaan (EIS) untuk memastikan mereka mempunyai jaringan keselamatan sekiranya berlaku kemalangan, kecacatan atau kehilangan pendapatan.
"RUU ini hendaklah menetapkan struktur pendapatan yang adil bagi mengelakkan pemotongan komisen yang eksploitatif oleh platform dan memastikan pekerja menerima pendapatan yang mencukupi untuk kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) sebelum ini dijangka membentangkan RUU Pekerja Gig 2025 itu di Dewan Rakyat pada bulan ini.
Bagaimanapun, pada 28 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor mengarahkan Kesuma dan dan Menterinya, Steven Sim Chee Keong untuk memperhalusi draf RUU Pekerja Gig berkenaan sebelum ia dibentangkan susulan adanya permintaan untuk berbuat demikian terutamanya daripada syarikat penyedia perkhidmatan ekonomi gig.
Lam Thye berpandangan, pengenalan cuti sakit berbayar dan perlindungan perubatan juga penting terutamanya bagi pekerja yang mengalami kecederaan semasa bekerja.
Kata beliau, dari sudut keselamatan jalan raya dan syarat kerja, syarikat harus dilarang menetapkan sasaran penghantaran tidak realistik yang mendorong kelajuan berlebihan dan memandu secara tidak bertanggungjawab.
"Ini kerana banyak kemalangan melibatkan penunggang penghantaran berlaku kerana mereka tertekan untuk memenuhi tarikh akhir yang ketat dan menyelesaikan lebih banyak pesanan.
"RUU ini juga hendaklah mewajibkan latihan keselamatan jalan raya yang mencukupi serta perlindungan insurans untuk semua pekerja gig. Majikan harus diwajibkan menyediakan peralatan keselamatan yang sewajarnya, termasuk topi keledar dan jaket berpantulan bagi penunggang,” ujarnya.
Dari aspek kontrak yang adil dan penyelesaian pertikaian pula, Lam Thye menegaskan, hak-hak pekerjaan yang jelas perlu ditetapkan termasuk kontrak telus serta mekanisme penyelesaian pertikaian yang adil.
Ujar beliau, pekerja gig turut harus diberikan hak untuk membentuk kesatuan sekerja atau persatuan pekerja untuk berunding secara kolektif demi mendapatkan syarat kerja yang lebih baik.
Beliau menambah, perundangan tersebut secara keseluruhannya amat penting dan telah lama diperlukan untuk menangani kelemahan pekerjaan ekonomi gig kerana kekurangan perlindungan serta faedah berbanding yang dinikmati pekerja tradisional.
"Ekonomi gig tidak sepatutnya kekal sebagai kawasan ‘kelabu’ di mana pekerja terpaksa mengharungi segala-galanya sendiri. RUU ini mesti meletakkan asas kepada ekonomi gig yang lebih adil, saksama dan mampan di Malaysia.
"Kami menggesa pembuat undang-undang untuk memberi keutamaan kepada hak dan kesejahteraan pekerja gig serta memastikan RUU ini benar-benar memenuhi keperluan mereka. Ekonomi gig yang berkembang mestilah juga menjadi ekonomi yang selamat dan adil,” tegasnya lagi.