Pemancing maut, rakan cedera nahas bot karam

Iklan
Mangsa meninggal dunia dipercayai kerana kecederaan serius di kepala akibat terkena kipas enjin sangkut bot berkenaan. Foto hiasan

MIRI - Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera apabila bot angin yang mereka naiki karam ketika dalam perjalanan untuk memancing di Sungai Batang Baram di sini pada Rabu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa, Vincent Patrick, 58, dari Pujut Corner di sini, meninggal dunia dipercayai kerana kecederaan serius di kepala akibat terkena kipas enjin sangkut bot berkenaan.

Iklan
Iklan

"Rakannya, Jeansher Bunsu, 27, dari Bandar Baru Permyjaya di sini, cedera di kepala dan tangan kiri sempat diselamatkan penduduk dari Rumah Mekar, sebuah rumah panjang berdekatan lokasi kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 11.22 pagi.

"Kedua-dua mangsa dibawa ke jeti Rumah Mekar dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia yang tiba kemudian mengesahkan kematian Vincent sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, mangsa yang cedera pula telah dibawa ke Hospital Miri bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Kedua-dua mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan ke hulu sungai untuk memancing sebelum bot angin yang mereka naiki tiba-tiba gagal dikawal menyebabkan ia karam dan mangsa tercampak ke dalam sungai. - Bernama

Iklan