PSM idam kerusi DUN Ayer Kuning

Iklan
Jeyakumar

IPOH - Parti Sosialis Malaysia (PSM) sedang mempertimbangkan keputusan untuk meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Bagaimanapun, Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, perkara itu belum dimuktamadkan biarpun cadangan diterima dalam kalangan pemimpin parti.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perbincangan lanjut akan dibuat di semua peringkat parti untuk mendapatkan persetujuan.

"Ada kemungkinan besar (letak calon) tapi belum dimuktamadkan. Memang ada ramai dalam parti yang rasa kita harus tanding. Kita sedang bincang sekarang dalam parti.

Iklan

"Kita nak bincang di peringkat cawangan, negeri dan nasional. Kita kena bincang dahulu tengok macam mana konsensus, baru buat keputusan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Jeyakumar berkata, perkara tersebut perlu penelitian dan melihat dari pelbagai sudut kerana bertanding dalam PRK memerlukan dana yang besar.

Iklan

Jelasnya, selain itu parti juga memerlukan sukarelawan yang sanggup bekerja membantu calon sepanjang kempen.

"Walaupun saya pengerusi, saya tidak boleh buat keputusan sendiri kerana semua orang kena bantu, buat kerja sukarela bukan macam parti besar di mana ada dana kita boleh bayar orang kerja.

"Kalau semua orang setuju untuk bertanding, semua kena pikul tanggungjawab itu," ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, selepas keputusan dibuat, pihaknya akan berbincang dengan rakan parti bersekutu seperti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengenai hasrat tersebut.

Jelasnya, tindakan tersebut penting supaya tidak berlaku pertembungan selain mendapatkan sokongan serta bantuan daripada parti berkenaan.

Untuk rekod Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PSM mempertaruhkan calon Bawani KS bertanding di kerusi DUN Ayer Kuning tetapi tewas selepas hanya memperoleh 586 undi berbanding penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang mendapat 9,088 undi dalam pertembungan empat penjuru.