Ramadan berbeza buat penduduk Syria

Iklan
Harga roti yang merupakan makanan ruji penduduk Syria telah melambung tinggi.

DAMSYIK - Komuniti Muslim di Syria meraikan Ramadan pertama sejak penggulingan rejim Presiden Bashar al-Assad yang telah menamatkan pemerintahan diktator selama lebih lima dekad.

Beberapa restoran dan kafe di Syria ditutup pada Sabtu manakala premis lain beroperasi seperti biasa ketika pada 1 Ramadan.

Iklan
Iklan

Kementerian Wakaf Agama di bawah kerajaan sementara pimpinan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) bertindak tegas mengarahkan penutupan kesemua premis perniagaan makanan dan minuman serta melarang makan atau minuman di khalayak umum.

Mereka yang gagal berbuat demikian bakal berdepan tindakan tegas.

Iklan

Orang ramai hanya berbelanja barangan keperluan penting kerana wang tunai yang terhad.

Di bawah pemerintahan Assad, orang bukan Muslim masih dibenarkan makan atau minum di tempat awam sepanjang bulan Ramadan.

Iklan

"Ramadan pada kali ini agak berbeza. Ia adalah kemenangan dan kebebasan buat semua,” kata Menteri Interim Hal Ehwal Agama, Hussam Haj-Hussein.

Beberapa hari sebelum ketibaan bulan suci itu, orang ramai beratur panjang di luar sebuah bank di Damsyik dan terpaksa menunggu lama semata-mata mahu mengeluarkan kira-kira £200,000 (RM68) untuk membeli barang keperluan sebelum berpuasa.

Pemerintah baharu telah menetapkan had pengeluaran wang ketika usaha pemulihan negara itu sedang dilakukan.

"Wang tersebut hanya boleh digunakan untuk membeli sekilogram atau 500 gram daging. Bagaimana dengan roti, sayur-sayuran dan buah-buahan? Kami perlukan lebih banyak wang untuk berbelanja sempena Ramadan,” kata jurutera awam, Sleiman Dawoud, 56.

Difahamkan, kerajaan sementara sedang melaksanakan pembaharuan ekonomi dan membuka pasaran kepada produk import serta menghapuskan subsidi roti yang menjadikan harga makanan ruji itu 10 kali ganda lebih mahal.

Selain itu, ia juga memberhentikan ribuan penjawat awam selain mengehadkan pengeluaran wang dari Mesin Teler Automatik (ATM).

Harga banyak barangan kecuali roti telah mengalami kejatuhan sejak tampuk pemerintahan bertukar kuasa.

Tetapi, ramai penduduk Syria hilang kuasa beli kerana pelaksanaan had pengeluaran wang dalam ekonomi negara yang masih berasaskan tunai dan bukannya kad kredit atau pembayaran elektronik (e-pembayaran).

Terpaksa langkau sahur

Pengeluaran wang tunai telah menjadi seperti 'kerja sambilan' buat segelintir warga tempatan yang terpaksa menunggu hingga berhari-hari untuk berbelanja.

Beratur panjang selama berjam-jam di luar bank telah menjadi 'aktiviti rutin' penduduk setempat.

Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan lebih 90 peratus rakyat di negara itu hidup di bawah garis kemiskinan dan satu daripada empat individu adalah penganggur.

Cabaran untuk mengeluarkan wang tunai telah menambah lagi bebanan hidup mereka.

"Kami terpaksa melangkau sahur untuk berjimat,” ujar pesara tentera berusia 60 tahun, Mahmoud Embarak.

Deretan kedai menjual pelbagai perhiasan Ramadan juga sunyi sepi tanpa pengunjung kerana sebahagian besar penduduk Syria lebih mengutamakan untuk mengisi perut berbanding dekorasi yang biasa dibuat sebelum ini.

"Ramai orang tiada wang. Bank juga kehabisan wang,” jelas Nour al-Hamwi, 37, yang membantu suaminya menguruskan kedai menjual pelbagai hiasan termasuk lampu gantung berwarna-warni.

Pada tahun lalu, hasil jualan mereka agak memberangsangkan, namun pada Ramadan kali ini, masyarakat hanya membeli barang keperluan penting sahaja.

"Suasana Ramadan pada kali ini agak suram,” menurut Anwar Hamid.

Kedai menjual perhiasan sempena Ramadan kurang mendapat sambutan pada tahun ini.

Fatima Hussain, 56, dan suaminya, Ha'il Ali Jasser, 59, antara yang membeli stok makanan dalam kuantiti yang banyak sempena puasa.

Jelas mereka, makanan ruji pada Ramadan seperti daun zaitun, minyak, beras dan gandum bulgur adalah jauh lebih murah berbanding sebelum kejatuhan al-Assad.

"Masalah utama sekarang adalah, harga murah, tetapi tiada wang tunai. Harga roti pula melambung tinggi daripada £400 (RM14 sen) kepada £4,000 (RM1.40),” ujar ibu kepada lapan anak itu lagi. - Agensi