JAKARTA – [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki dari Desa Skinu, Kecamatan Toianas, Kabupaten Timor Tengah Selatan (TTS), Nusa Tenggara Timur (NTT), tergamak membunuh dua anak perempuannya, Jesika Taniu dan Sarifa Taniu, pada Isnin.
Suspek, yang juga bapa kandung mangsa, dikenali sebagai Yani Taniu.
Kejadian tragis ini berlaku ketika kedua-dua anaknya sedang mencari udang dan ketam di sungai.
"Kejadian berlaku pagi tadi (Isnin). Dua mangsa maut. Suspek merupakan bapa kandung mereka sendiri," kata Ketua Polis TTS, AKBP Sigit Harimbawan, pada petang Isnin seperti yang dilaporkan oleh Kompas.com.
Menurut Sigit, pihak polis masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan belum dapat memberikan butiran lengkap mengenai insiden tersebut.
Berdasarkan maklumat awal, isteri suspek, Nia Bobe, turut berada di tempat kejadian semasa insiden berlaku.
Bagaimanapun, Nia berjaya melarikan diri sebelum melaporkan tindakan kejam suaminya kepada penduduk setempat dan pihak berkuasa desa.
Penduduk kampung kemudian menghubungi pihak polis untuk melaporkan kejadian itu.
Sebaik sahaja menerima laporan, polis segera bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap suspek yang berada tidak jauh dari mayat kedua-dua mangsa.
"Saya masih menunggu laporan penuh daripada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah. Pasukan forensik masih berada di tempat kejadian untuk menjalankan siasatan," kata Sigit.
Beberapa anggota polis dari Ibu Pejabat Polis TTS sedang dalam perjalanan ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai kes ini.
"Perjalanan dari balai polis ke tempat kejadian mengambil masa sekitar tiga hingga empat jam. Oleh itu, kami masih menunggu laporan penuh," tambahnya.