Di mana beras tempatan yang dijanjikan? - Pas Selangor

Iklan
Zurk Ahmad

SHAH ALAM - Pas Selangor mendesak kerajaan segera menyelesaikan isu bekalan beras putih tempatan (BPT) yang masih tidak mencukupi di pasaran, meskipun tarikh 1 Mac telah berlalu.

Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad dalam satu kenyataan mempersoalkan kelewatan pengagihan beras subsidi yang dijanjikan kerajaan, dengan mendakwa bekalan hanya tertumpu di beberapa kawasan dalam kuantiti terhad.

Iklan
Iklan

"Adakah masalah bekalan belum selesai? Adakah isu pengagihan belum ditangani? Rakyat berhak mendapat jawapan yang jelas dan penyelesaian yang tuntas," tegasnya.

Menurut beliau, pelbagai isu seperti penukaran label beras, kewujudan kartel yang tidak dibongkar, dan janji bekalan BPT yang masih kabur menunjukkan kelemahan kerajaan dalam menguruskan keperluan asas rakyat.

Iklan

Lebih membimbangkan, dakwanya, kerajaan dilihat tidak serius dalam menangani masalah ini apabila sering mengeluarkan kenyataan bercanggah dan memberikan maklumat yang tidak tepat.

"Pas Selangor menuntut kerajaan segera bertanggungjawab serta mencari penyelesaian menyeluruh bagi memastikan bekalan makanan ruji negara tidak terus menjadi isu berpanjangan tanpa tindakan konkrit," katanya.

Iklan

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa 24 juta beg 10 kilogram BPT bersubsidi akan berada di pasaran seluruh Semenanjung bermula 1 Mac ini.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, pembelian BPT bersubsidi itu dihadkan kepada dua kampit setiap bulan bagi 400,000 ketua isi rumah (KIR) miskin dan dijual pada harga RM26.