Pemuda maut dalam nahas motosikal ketika mahu bersahur

Iklan
Mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dalam kemalangan di hadapan SK Datuk Haji Baginda, Merlimau, di sini, pada awal pagi Selasa.

JASIN - [DIKEMAS KINI] Hasrat dua sepupu mahu bersahur di kedai makan, tidak kesampaian apabila salah seorang daripadanya maut dalam kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Haji Baginda, Merlimau, di sini, pada awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, kedua-dua mangsa menunggang motosikal Yamaha NVX dalam perjalanan dari Umbai menghala ke Serkam.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat, berkata, siasatan awal mendapati setiba di lokasi kejadian motosikal ditunggang mereka cuba memotong sebuah kereta.

Menurutnya, pada masa sama datang sebuah motosikal jenis SYM BX110 ditunggang lelaki berusia 31 tahun dari arah depan sedang membelok ke kanan memasuki Jalan Muhibbah.

Iklan

Katanya, mangsa tidak sempat mengelak motosikal itu yang berada pada laluannya lalu terbabas di bahu kanan jalan sebelum merempuh tiang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Akibatnya penunggang motosikal Yamaha NVX, Ibnu Hakim Abdul Rahman,18, bekerja sendiri disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan kerana parah di kepala selepas tercampak.

Iklan

"Bagi pembonceng motosikal itu juga sepupu mangsa berusia 17 tahun dan penunggang motosikal lelaki berusia 31 tahun masing-masing luka di kaki dan tangan telah dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Izzuwan Jafri ditalian 019 7242479 atau kaunter aduan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Jasin dalam talian 06 5292222 (samb.260).