Keuntungan pencarum KWSP dan pengukuhan ekonomi

Iklan
Prestasi KWSP yang memberangsangkan ini memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap sistem perlindungan sosial negara.

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Sabtu mengumumkan kadar dividen masing-masing 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah 2024, sekali gus tertinggi dalam tempoh tujuh tahun sejak 2017.

Pengumuman ini disambut baik oleh rakyat Malaysia, khususnya pencarum yang bergantung kepada dana simpanan mereka untuk kestabilan kewangan selepas bersara.

Iklan
Iklan

Peningkatan dividen ini juga memberikan kelegaan kepada pencarum terutamanya selepas tempoh pandemik yang menyaksikan ramai terpaksa mengeluarkan simpanan mereka melalui beberapa skim pengeluaran seperti i-Sinar dan i-Citra. Dengan pengumuman dividen yang lebih tinggi ini, pencarum dapat membina semula simpanan mereka dengan lebih yakin.

Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan keupayaan KWSP tetapi juga menjadi pemangkin kepada kesejahteraan ekonomi negara secara keseluruhan. Ia menunjukkan strategi pelaburan yang efektif dan mampan, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

Iklan

Prestasi KWSP yang memberangsangkan ini memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap sistem perlindungan sosial negara. Ia bukan sahaja menguntungkan pencarum dari segi pulangan simpanan tetapi juga meningkatkan keyakinan terhadap strategi pelaburan dan pengurusan risiko yang diamalkan oleh institusi tersebut.

Namun, walaupun prestasi KWSP kelihatan positif, pencarum juga perlu memainkan peranan dalam merancang kewangan mereka dengan lebih bijak. Bergantung sepenuhnya kepada dividen sahaja tidak mencukupi jika tiada perancangan jangka panjang.

Iklan

Pendidikan kewangan harus diperkasakan agar rakyat dapat memanfaatkan simpanan mereka dengan lebih baik.

Apa yang perlu ialah bagaimana kita sebagai pencarum menggunakan segala manfaat kewangan dengan baik bagi melestarikan kehidupan pada masa depan. Jika tidak, berapa tinggi dividen dan banyak kali peluang pengeluaran khas pun akan jadi sia-sia.

Bagi KWSP pula, teruskan memantau perkembangan ekonomi global dan domestik serta menyesuaikan strategi pelaburan bagi memastikan pulangan konsisten masa hadapan.

Jadi, besarlah harapan pencarum agar KWSP terus memperkukuh strategi pelaburannya bagi memastikan kadar dividen tahun 2025 dan seterusnya kekal kompetitif.