USAHAWAN dan pempengaruh media sosial, Ridzuan Ridzokumura mendedahkan emosi anaknya, Sky Taizo Okumura, 13, masih belum stabil sejak pemergian ibu tercinta, Akiko Okumura Jumaat lalu.
Menurut Ridzuan atau nama sebenarnya Abdul Ridzuan Abdul Mutalib, 50, anak tunggalnya itu masih kerap menangis setiap kali teringatkan ibunya.
"Setiap hari Sky menangis sekejap ok, sekejap ingat mummy menangis lagi. Ya ALLAH, kuatnya dugaan hidup ini," kongsi Ridzuan menerusi akaun media sosialnya.
Malah Ridzuan turut menyifatkan pemergian mendadak Akiko atau nama Islamnya Aisyah Abdullah sebagai burung kehilangan sebelah sayap.
"Abang terasa seperti burung yang kehilangan sebelah sayap. Insya-ALLAH abang cuba kuatkan semangat untuk Sky. Doakan kami sekeluarga. Terima kasih,” katanya beserta video sedang memeluk Sky.
Menerusi sesi siaran langsung di TikTok pada pagi Ahad, Ridzuan mendedahkan bahawa Sky masih dalam proses menerima hakikat pemergian ibunya.
"Sky bila dengan orang yang dia rapat, dia akan menangis, sedih. Sedih sebab teringat mak dia.
"Lepas itu bila bangun tidur, Sky akan cari mak dia. Kemudian dia akan sedih balik.
"Sky kata kenapa Tuhan ambil mak dia masa umur dia 13 tahun," ujar Ridzuan.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, isteri kepada Ridzuan iaitu Akiko Okumura telah meninggal dunia pada 28 Februari 2025.
Berita mengenai kematian wanita itu dimaklumkan sendiri oleh Ridzuan melalui satu hantaran di akaun media sosialnya.