Rasuah RM3 juta: Serah kepada Bukit Aman, kata KP Selangor

Iklan
Laporan Sinar Harian sebelum ini

BANGI - Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin menyerahkan sepenuhnya kepada Bukit Aman untuk mengambil tindakan terhadap pegawai dan anggota polis kontinjen Selangor yang disyaki memeras wang sebanyak RM3 juta daripada sindiket dadah di Cheras.

Menurutnya, beliau memandang serius terhadap isu salah laku pegawai dan anggota.

Iklan
Iklan

"Mana-mana pegawai dan anggota yang didapati terbabit dengan kes rasuah dan jenayah tidak akan dikompromi.

"Kami tidak akan berselindung dalam isu ini. Jika bersalah, mereka bukan sahaja ditahan, malah akan dituduh di mahkamah," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Neighbourhood Watch Kontinjen Selangor Siri 1/2020 di Hub Perindustrian Suntracks di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, kes disiasat polis kontinjen Kuala Lumpur kerana ia berlaku di Kuala Lumpur, namun dari segi tindakan tatatertib, pihaknya menyerahkan kepada pihak Bukit Aman.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu diminta tampil memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN: Peras ugut RM3 juta: Empat anggota, pegawai polis ditahan

Iklan

Terdahulu, 19 Februari lalu, sebuah portal berita melaporkan empat anggota polis ditahan kerana disyaki memeras wang RM3 juta sebagai dorongan untuk melindungi sebuah makmal dadah di Cheras di sini yang diserbu sebelum ini.

Suspek terdiri daripada seorang pegawai berpangkat inspektor, dua koperal detektif dan seorang koperal yang bertugas di bahagian jenayah berat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Laporan yang memetik kenyataan sumber mengatakan keempat-empat suspek berusia antara 37 hingga 38 tahun itu ditahan di pejabat JSJ IPK Selangor di Shah Alam, Selangor pada jam 9.45 pagi.

Tangkapan itu katanya dibuat oleh pasukan khas JSJ dari IPK Kuala Lumpur susulan aduan oleh seorang ahli perniagaan warga Taiwan yang dibuat di Balai Polis Salak Selatan pada Isnin lalu yang sebelum itu ditahan kerana terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah.

Lelaki terbabit mendakwa tidak berpuas hati kerana dia dan beberapa rakannya ditahan walaupun sudah ‘membayar wang’ kepada polis.