SHAH ALAM - Kenaikan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 6.30 peratus membantu meningkatkan tahap kesediaan persaraan rakyat Malaysia dalam jangka masa panjang sekali gus memberikan jaminan kewangan lebih baik selepas bersara.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata peningkatan nilai dividen itu mampu mencapai nilai simpanan asas berjumlah RM390,000 sekali gus pencarum boleh mengeluarkan wang simpanan secara bulanan selama 20 tahun selepas bersara.
Beliau berkata, dengan mengekalkan simpanan tersebut, maka ahli boleh menikmati kesan pengganda dan bersara dalam keadaan selesa.
"Di bawah Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) pencarum dilihat boleh mengeluarkan wang simpanan setelah bersara secara bulanan selama 20 tahun yang berjumlah RM1,625 di tahun satu dan meningkat kepada RM4,434 menjelang tahun ke 20.
"Sekiranya ahli mempunyai simpanan sebanyak RM1,000 pada usia 23 tahun dan mengekalkan simpanan sehingga berumur 60 tahun, maka boleh mencecah RM6,081.41 pada umur 60 tahun dengan andaian kadar dividen adalah lima peratus setahun.
"Pada pandangan saya tidak salah untuk mengeluarkan wang KWSP ini, tetapi apa yang penting ialah pencarum perlu membuat keputusan yang rasional dan tidak melakukan pembaziran,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Sabtu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi tahun 2024.
Ahmad Zulqarnain berkata, jumlah agihan sebanyak RM73.24 bilion melibatkan Simpanan Shariah sebanyak RM10.19 bilion dan RM63.05 billion bagi Simpanan Konvensional.
Bagi tahun 2023, KWSP memberikan dividen 5.4 peratus untuk Simpanan Shariah dan 5.5 peratus bagi Simpanan Konvensional, melibatkan jumlah agihan keseluruhan RM57.81 bilion.
Prestasi KWSP yang kukuh disokong oleh pertumbuhan ekonomi negara yang stabil, pelaksanaan reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi Madani yang membina asas ekonomi negara yang baik untuk pembangunan yang inklusif dan mampan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Ekonomi & Kewangan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mohamad Idham Md Razak berkata, pencarum akan memperoleh pulangan lebih tinggi di atas simpanan mereka dan secara tidak langsung meningkatkan nilai aset persaraan.
Menurutnya, kenaikan dividen KWSP turut meningkatkan aliran tunai sektor perniagaan dan merangsang permintaan terhadap barangan serta perkhidmatan selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
"Peningkatan dividen akan meningkatkan simpanan persaraan pencarum kerana pulangan yang lebih tinggi akan menggandakan nilai simpanan mereka dalam jangka masa panjang.
"Ini memberi kelebihan kepada pencarum untuk memiliki dana persaraan yang lebih mencukupi bagi menampung kos hidup selepas bersara,” katanya.
Ujarnya, kesan ini hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya pencarum tidak mengeluarkan simpanan mereka lebih awal tanpa perancangan kewangan yang baik.