Caj kesesakan: Solusi atau tambah beban?

Iklan
Jika caj kesesakan ingin dikuatkuasakan, tidakkah sepatutnya jaminan pengangkutan awam yang lebih baik diberi keutamaan terlebih dahulu. Gambar hiasan

SEJAK minggu lalu, topik caj kesesakan di ibu kota kembali hangat diperkatakan selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, kerajaan sedang mengkaji mekanisme mengenainya.

Menurut beliau, pelaksanaan caj ini dijangka dapat mengurangkan 20 peratus kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Pun begitu, dapatan ini kembali menimbulkan persoalan besar - adakah Malaysia bersedia untuk melaksanakan sistem ini?

Di atas kertas, caj ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan dan dilihat sebagai penyelesaian strategik untuk mengurangkan bilangan kenderaan persendirian di jalan raya, sekali gus menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Iklan

Namun, ramai yang membantah pelaksanaan ini kerana berpendapat sistem pengangkutan awam di Malaysia masih belum cukup cekap dan menyeluruh untuk menjadi alternatif utama.

Sebahagian besar rakyat masih bergelut dengan isu kekerapan perkhidmatan, keselesaan serta liputan laluan yang terhad.

Iklan

Rangkaian Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) misalnya, walaupun semakin berkembang, masih tidak mencakupi banyak kawasan perumahan utama.

Begitu juga dengan perkhidmatan bas yang sering kali mengalami kelewatan serta kekurangan laluan yang berkesan.

Jika caj kesesakan ingin dikuatkuasakan, tidakkah sepatutnya jaminan pengangkutan awam yang lebih baik diberi keutamaan terlebih dahulu?

Ada juga yang berpendapat, tindakan mengenakan caj seolah-olah mengelak daripada tanggungjawab sebenar dalam menyelesaikan masalah ini dengan meletakkan beban kepada rakyat.

Selain itu, kebimbangan utama adalah implikasi kewangan kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang mungkin tiada pilihan selain menggunakan kenderaan persendirian.

Dalam keadaan sekarang, kerajaan perlu menilai semula keperluan dan kesediaan rakyat sebelum membuat keputusan.

Jika objektif utama adalah untuk mengurangkan kesesakan, pendekatan yang lebih menyeluruh seperti mempertingkatkan sistem pengangkutan awam, memperkenalkan insentif kepada pengguna serta memperbaiki infrastruktur sedia ada, harus dipertimbangkan terlebih dahulu.

Apa gunanya memperkenalkan caj kesesakan jika akhirnya menambah beban tanpa memberi penyelesaian sebenar kepada masalah lalu lintas di ibu kota?

Fikir dahulu dan jangan terburu-buru.