Lelaki alami paru-paru kecut selepas senaman tekan tubi, lompat tali

Iklan
Imbasan sinar-X (kanan) menunjukkan paru-paru seorang lelaki mengecut sebanyak satu pertiga daripada saiz asal selepas dia melakukan senaman tekan tubi dan lompat tali. Foto Agensi

HENAN - Doktor di Henan, China terkejut dengan kes seorang lelaki pertengahan usia yang mengalami pneumotoraks (paru-paru kecut) selepas melakukan senaman ringan iaitu tekan tubi sebanyak 20 kali dan lompat tali selama beberapa minit.

Lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu memberitahu doktor bahawa dia memulakan rutin senaman sebagai azam tahun baharu, namun, perkara sebaliknya berlaku kepadanya bulan lalu.

Iklan
Iklan

Dia melakukan tekan tubi dan lompat tali sebagai usaha menurunkan berat badan, tetapi selepas hanya dua set tekan tubi dan beberapa minit lompat tali, badannya mula berasa tidak selesa.

Walaupun meneruskan aktiviti harian seperti biasa, keesokan harinya dia mengalami sakit dada yang teruk serta kesukaran bernafas, terutama selepas melakukan pergerakan kecil seperti menaiki tangga.

Iklan

Kesakitannya semakin menjadi-jadi sehingga dia terpaksa mendapatkan rawatan di hospital, di mana doktor mengesahkan dia mengalami pneumotoraks.

Imbasan sinar-X menunjukkan salah satu paru-parunya telah mengecut hingga hanya tinggal sepertiga daripada saiz asal akibat tekanan yang terlalu kuat ketika bersenam.

Iklan

Doktor memberi amaran bahawa jika dibiarkan, keadaannya boleh menjadi lebih teruk dan berisiko menyebabkan kerosakan kekal atau kematian.

Kisah lelaki ini dijadikan peringatan oleh doktor agar sentiasa mendengar isyarat tubuh dan tidak memaksa diri secara berlebihan.

Namun, dua set tekan tubi dan beberapa minit lompat tali bukanlah senaman yang dianggap terlalu ekstrem.

Sebelum ini, terdapat beberapa kes paru-paru kecut yang berlaku akibat aktiviti tidak dijangka seperti regangan badan pada waktu pagi, berkaraoke, dan menjerit ketika konsert secara langsung. - Agensi