'Suara imam' cecah nilai lima angka

Iklan
Jemaah Masjid Tengku Muhammad Faris Petra Bandar Kuala Krai. Suara imam yang merdu menambah khusyuk para jemaah.

KOTA BHARU - Masjid Tengku Muhammad Faris Petra Bandar Kuala Krai dekat sini sanggup mengeluarkan belanja mencecah lima angka setiap kali Ramadan untuk membayar imam solat tarawih.

Imam Satu, Ahmad Maher Safiain bagaimapun berkata, untuk menggalas tanggungjawab itu individu tersebut perlu menepati kriteria utama iaitu mempunyai suara merdu dan ‘gagah’, serta bertaranum dengan baik bagi memukau para jemaah.

Iklan
Iklan

"Ini yang penting kerana sepanjang bulan yang penuh rahmat dan pahala berganda ini, kami mahu bacaan imam sepanjang solat tarawih dapat menyentuh jiwa para jemaah.

Ahmad Maher

"Ia secara tidak langsung menjadi daya tarikan mereka untuk datang ke masjid dan menggandakan amalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurut beliau, selain itu Masjid Tengku Muhammad Faris Petra Bandar Kuala Krai turut mementingkan imam daripada kalangan hafiz al-Quran tempatan berbanding imam import.

Ujarnya, tidak dinafikan disebabkan bayaran yang lumayan pihaknya sering mendapat permohonan individu dari Indonesia, Thailand, Singapura dan Mesir untuk menjadi imam di sini.

Iklan

Ahmad Maher memberitahu, namun semua itu ditolak kerana lebih mengutamakan anak tempatan.

"Dari segi kadar bayaran pula, pihak masjid telah menetapkan angka khas iaitu RM6,000 namun jumlah tersebut berganda sehingga mencecah lima angka apabila para jemaah akan menyumbang serta bersedekah dengan niat berkongsi rezeki dengan imam tarawih.

"Biasanya kita ada buka Tabung Ihya Ramadan untuk jemaah bersedekah dan ia juga akan diberikan kepada imam tarawih. Dari segi penginapan, makanan serta kenderaan pula, semuanya disediakan secara percuma kepada imam tarawih berkenaan,” katanya.

Di KUALA TERENGGANU, imam solat tarawih 20 rakaat di Masjid At-Taqwa Durian Burung menerima bayaran sebanyak RM350 untuk satu malam.

Raja Ahmad Hanif

Imam masjid berkenaan, Raja Ahmad Hanif Raja Shaiful Zaman, 34, berkata, bayaran itu menggunakan dana daripada tabung masjid.

"Pada tahun ini kadar bayaran adalah sama seperti tahun lepas. Ini kerana sudah ada berlaku kenaikan pada 2024, maka tahun ini kadar bayaran solat tarawih kekal RM350.

"Sumber dana untuk bayaran kepada imam tarawih adalah melalui tabung masjid. Tabung masjid ini dibuka khusus untuk program Ihya Ramadan yang diadakan di masjid pada setiap tahun.

"Selain tabung masjid, pihak pengurusan masjid juga membuka tajaan kepada pihak perseorangan yang berminat untuk menaja program sepanjang Ramadan. Ini merangkumi iftar, sahur, moreh dan ia juga termasuk untuk bayaran imam tarawih, bilal tarawih dan kuliah Subuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Raja Ahmad Hanif menyatakan beliau yang merupakan antara imam muda di masjid berkenaan perlu mempunyai pengetahuan mendalam tentang hukum-hakam dalam solat serta membaca ayat suci al-Quran dengan baik dan lancar.

Menurutnya, kriteria sedemikian dapat memberi keyakinan kepada jemaah yang lebih berusia bahawa imam muda juga boleh memimpin solat secara berjemaah di masjid.

"Kriteria utama untuk menjadi imam tarawih tidak semestinya hafiz al-Quran tetapi hafiz al-Quran adalah diutamakan. Yang penting adalah mesti boleh mengalunkan bacaan al-Quran dengan baik kerana ada juga mereka yang menghafaz al-Quran namun bacaannya agak kurang tepat.

"Selain itu, sememangnya imam muda kurang berpengalaman berbanding imam lebih berusia. Jadi sebagai imam muda, saya akan kuasai ilmu fiqah serta mempunyai pengetahuan mendalam tentang hukum-hakam dalam solat selain pastikan setiap ilmu disampaikan kepada jemaah itu tepat, padat dan penuh berilmu.

"Peluang yang diberikan kepada imam muda adalah sangat bagus kerana ia memberi peluang kepada pelapis muda untuk menimba banyak pengalaman, selain memberi pendedahan baharu kepada golongan muda seperti kami untuk memimpin solat tarawih,” jelas beliau.

Raja Ahmad Hanif berkata, setakat ini terdapat tiga imam muda yang berusia antara 20-an hingga 30-an yang akan menjadi imam tarawih di masjid berkenaan pada Ramadan ini.