Pengamal media perlu teguh integriti, tolak 'ganjaran' wang

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung penahanan seorang wartawan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada ejen pekerja asing. Gambar kecil: Hamdan Daniel

SHAH ALAM - Pengamal media perlu mempunyai prinsip integriti yang tinggi dengan menolak ganjaran berbentuk wang agar laporan berita kekal berlandaskan kebenaran serta tidak dipengaruhi oleh kepentingan pihak tertentu.

Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib menegaskan bahawa tanpa integriti yang kukuh, kewibawaan pengamal media akan terhakis dan ini akan menjejaskan kredibiliti industri kewartawanan secara keseluruhan.

Iklan
Iklan

"Orang ramai bergantung kepada laporan wartawan dan organisasi berita sebagai sumber rujukan untuk mendapatkan maklumat sahih. Justeru, jika rasuah wujud dalam industri media, ia pasti memberi kesan negatif kepada kesejahteraan awam.

"Sekiranya kes rasuah terus berlaku, ia akan menjejaskan reputasi serta kepercayaan awam terhadap laporan yang disiarkan media. Masyarakat juga akan hilang hormat terhadap tulisan dan saranan pengamal media,” katanya.

Iklan

Pada Sabtu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang wartawan sebuah portal berita kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000.

Wang itu didakwa sebagai balasan untuk menurunkan artikel yang dimuat naik serta tidak lagi menulis mengenai sebuah agensi pekerja asing dikaitkan dengan sindiket.

Iklan

Mengulas lanjut, Hamdan Daniel berkata, pengamal media perlu berpegang kepada prinsip ketelusan serta meletakkan kepentingan awam sebagai keutamaan bagi memastikan industri tersebut bebas daripada gejala rasuah.

"Walau apa jua sogokan ditawarkan, media harus menolaknya dengan penuh tanggungjawab dan amanah bagi memastikan laporan yang disampaikan tepat serta sahih.

"Media di Malaysia telah memainkan peranan penting dalam menjaga kesejahteraan rakyat. Jangan biarkan kes seperti ini berulang sehingga menghakis kepercayaan awam terhadap kewibawaan pengamal media," ujarnya.

Tambahnya, cabaran utama pengamal media adalah tawaran sogokan lumayan yang boleh menggugat integriti, justeru nilai etika kukuh amat diperlukan bagi memastikan mereka tidak terjerumus dalam gejala rasuah.

"Setiap wartawan harus memiliki keteguhan prinsip dan kejujuran dalam melaporkan berita. Bagi memantau etika kewartawanan, saya mencadangkan agar satu badan khas ditubuhkan.

"Badan khas ini bertujuan menyediakan bimbingan serta garis panduan kepada wartawan. Langkah itu juga dapat membantu meningkatkan profesionalisme dan kredibiliti media," katanya.