Peningkatan dividen, bukti KWSP pada tahap terbaik

Iklan
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus menunjukkan prestasi kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi dalam dan luar negara.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus menunjukkan prestasi kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi dalam dan luar negara, apabila berjaya memberikan pulangan lebih baik berbanding platform simpanan lain di Malaysia termasuk institusi perbankan.

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman kadar dividen KWSP bagi tahun 2024 sebanyak 6.3 peratus untuk kedua-dua simpanan Konvensional dan Shariah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kadar tersebut lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, dengan KWSP mencatatkan dividen 5.5 peratus bagi simpanan Konvensional dan 5.4 peratus bagi simpanan Shariah pada 2023. Malah, ia merupakan kadar tertinggi sejak 2017.

"Pada awalnya kami berharap kadar dividen KWSP bagi tahun ini mencecah 7 peratus, namun tetap menganggap peningkatan sebanyak lapan mata asas sebagai satu perkembangan positif.

Iklan

"Dengan jumlah pencarum seramai 15.9 juta orang, UNI-MLC yakin dividen lebih tinggi ini akan meningkatkan kepercayaan pekerja terhadap KWSP sebagai institusi simpanan utama mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelasnya, pengumuman ini bukan sahaja menambah jumlah simpanan pencarum dalam jangka panjang, malah dijangka menggalakkan lebih ramai membuat caruman secara sukarela.

Iklan

"Sehubungan itu, UNI-MLC berharap KWSP terus memperkukuh strategi pelaburannya bagi memastikan kadar dividen tahun 2025 dan seterusnya kekal kompetitif," ujarnya.