Suka duka Ramadan penduduk Gaza

Iklan
Seorang jemaah Palestin bersama kanak-kanak menunaikan solat sunat Tarawih di perkarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis. - AFP

RAFAH - Meja panjang berwarna merah terbentang sepanjang beberapa ratus meter di tengah timbunan runtuhan di selatan Gaza pada Sabtu, ketika keluarga-keluarga berkumpul untuk berbuka puasa pada hari pertama Ramadan.

Saat matahari terbenam di sebuah kejiranan di Rafah, yang hampir musnah akibat pertempuran antara Israel dan pejuang Palestin, ratusan rakyat Gaza dari pelbagai peringkat usia menikmati juadah iftar, menandakan berakhirnya puasa hari itu.

Iklan
Iklan

"Rakyat amat berdukacita dan segala yang berlaku di sekeliling kami sangat menyayat hati," kata Malak Fadda, penganjur majlis berbuka puasa beramai-ramai itu.

"Oleh itu, kami memutuskan untuk mengembalikan kegembiraan di jalan ini, seperti sebelum perang."

Iklan

Ketika mereka duduk menikmati hidangan, ketidaktentuan menyelubungi fasa seterusnya gencatan senjata di Gaza, yang memasuki fasa pertama pada 19 Januari lalu dan hampir berakhir pada Sabtu selepas lebih 15 bulan konflik.

Fasa kedua sepatutnya membuka jalan ke arah pengakhiran perang yang lebih kekal, namun rundingan setakat ini masih menemui jalan buntu.

Iklan
Seorang peniaga menggantung tanglung besar sempena menyambut bulan Ramadan di Khan Yunis, selatan Gaza. - AFP

Suasana berbuka puasa di Rafah dimeriahkan dengan alunan muzik dari pembesar suara, sementara penduduk duduk di atas barisan panjang kerusi plastik di bawah deretan bendera Palestin dan lampu hiasan yang tergantung di antara runtuhan bangunan.

Serangan pejuang Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang di Gaza telah menyebabkan lebih 69 peratus bangunan di wilayah itu musnah atau rosak teruk.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serangan udara dan pertempuran Israel telah mengusir hampir seluruh penduduk Gaza dan menyebabkan kebuluran yang meluas.

Gencatan senjata yang dikuatkuasakan sejak 19 Januari membolehkan lebih banyak bantuan kemanusiaan memasuki wilayah Palestin yang musnah itu, tetapi ratusan ribu penduduk masih terpaksa berteduh di khemah atau berlindung di sisa runtuhan rumah mereka.

Berlindung di tengah-tengah kemusnahan

Di bandar Beit Lahia di utara Gaza, puluhan penduduk tetap berkumpul untuk berbuka puasa di tengah sisa bangunan yang runtuh.

"Kami berada di sini di tengah-tengah kehancuran dan kami tetap bertahan walaupun penuh kesakitan dan luka," kata Mohammed Abu Al-Jidyan.

"Kami menikmati iftar di tanah kami sendiri dan tidak akan meninggalkan tempat ini," tambahnya.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mencetuskan kontroversi dengan cadangan untuk AS mengambil alih Gaza dan memindahkan penduduk Palestin, satu idea yang mendapat kecaman antarabangsa.

Menjelang waktu sahur di bandar Khan Yunis, lampu berwarna merah jambu, kuning dan biru menerangi kawasan yang sebahagian besarnya musnah akibat perang, sementara sekumpulan kecil penduduk berkumpul untuk bersahur.

Sebuah mural bertulis"Ramadan Menyatukan Kita" bersama simbol bulan sabit dilukis pada dinding yang masih berdiri teguh.

Kanak-kanak melihat seorang lelaki menggantung hiasan sempena menyambut bulan Ramadan di Khan Yunis, selatan Gaza. - AFP

Sehari sebelum itu, golongan muda di Gaza menghiasi runtuhan dengan tanglung Ramadan, bendera, dan hiasan berwarna-warni, manakala peniaga menjual belon dan permainan untuk kanak-kanak.

Namun, kemeriahan bulan suci itu tidak banyak membawa harapan kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal.

"Anak-anak saya kadang kala meminta pakaian dan makanan, tetapi saya tidak mampu menyediakannya kerana sudah menganggur selama satu setengah tahun," kata Omar al-Madhoun, penduduk kem pelarian Jabalia yang terjejas teruk.

"Kami duduk di tengah kemusnahan, tidak tahu bagaimana untuk meneruskan hidup. Kami juga bimbang perang akan kembali, membawa lebih banyak kehancuran," katanya kepada AFP pada Jumaat, sehari sebelum Ramadan bermula.

Serangan Hamas ke atas Israel yang mencetuskan perang di Gaza telah mengorbankan 1,218 orang, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi.

Tindakan balas Israel pula telah mengorbankan 48,388 orang di Gaza, majoritinya orang awam, menurut Kementerian Kesihatan di wilayah yang dikuasai Hamas itu, dengan angka tersebut diakui boleh dipercayai oleh PBB.

Fasa pertama gencatan senjata menyaksikan Hamas membebaskan 25 tebusan yang masih hidup dan memulangkan mayat lapan lagi kepada Israel sebagai pertukaran dengan lebih 1,700 tahanan Palestin. - AFP