Bekalan beras subsidi mula tiba di Terengganu secara berperingkat

Iklan
Pegawai Kawalselia Padi dan Beras Terengganu menjalankan pemeriksaan ke atas beras subsidi yang tiba di kedai runcit terbabit.

KUALA TERENGGANU - Beras putih tempatan (BPT) bersubsidi (10 kilogram) mula diedarkan di Terengganu pada Ahad dan proses tersebut dijalankan secara berperingkat.

Pengarah Negeri Kawalselia Padi dan Beras Terengganu, Ahmad Suffian Zulkipeli berkata, setakat ini hanya Q Mart menjadi peruncit pertama yang menerima bekalan tersebut.

Iklan
Iklan

"Q Mart telah membuat pesanan belian (PO) dan proses penghantaran beras itu telah bermula pada hari ini manakala peruncit lain seperti pasar raya Giant dan Mydin masih dalam proses permohonan.

"Pemborong dari luar seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Johor mengambil masa sedikit untuk penghantaran kerana ada yang masih bercuti. Namun, kami yakin lebih banyak pesanan akan diterima dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, pemantauan rapi dilakukan bagi memastikan bekalan 24 juta pek beras subsidi sampai ke seluruh Semenanjung Malaysia, termasuk di Terengganu.

"Hari ini penghantaran beras subsidi dari Jasmine sudah tiba di Terengganu, manakala pada Selasa ini dijangka penghantaran daripada Cap Rambutan dan Cap Saga pula. Bekalan beras ini akan diedarkan ke pasar raya dan kedai runcit secara berperingkat," katanya.

Iklan

Menurut Ahmad Suffian, pihaknya juga memastikan setiap penghantaran mematuhi pesanan dan beras dijual pada harga kawalan RM26 sebungkus.

"Peniaga perlu memastikan harga beras subsidi ini dipamerkan dengan jelas. Kami akan sentiasa memantau perkara ini dan tindakan tegas akan diambil jika terdapat pelanggaran di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras (Akta 522)," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, beliau menyarankan supaya setiap pembeli hanya membeli maksimum dua kampit beras bagi memastikan bekalan mencukupi.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan agar melaporkan sebarang ketidakpatuhan berkaitan harga dan bekalan beras subsidi kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

"Langkah ini bagi mengelakkan pembelian pukal oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk pengusaha kedai makan. Kita mahu semua rakyat mendapat manfaat daripada inisiatif ini," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati sebanyak 50 kampit beras bagi penghantaran pertama makanan asas itu tiba di sebuah kedai runcit, di QMart cawangan Merbau Patah, di sini sekitar jam 11 pagi tadi.

Bagaimanapun, ketika tinjauan dilakukan, tidak ramai pelanggan yang beratur untuk mendapatkan beras tersebut disebabkan ia masih baharu di letakkan pada ruangan tersebut.

Raziah merupakan antara pelanggan terawal mendapatkan beras putih tempatan di cawangan QMart Merbau Patah di Kuala Terengganu.

Menurut seorang pembeli, Raziah Md Noor, 55 berkata, dia bersyukur kerana dapat membeli beras tersebut untuk diinfakkan kepada sebuah pusat tahfiz.

"Sudah menjadi kebiasaan untuk saya menginfakkan nasi kepada pusat tahfiz itu pada bulan Ramadan ini.

"Dengan adanya beras pada harga rendah ini amat berbaloi sangat dengan musim sekarang ni sebab harga barang serba-serbi meningkat," katanya yang menjalankan perniagaan kerabu di Kampung Wakaf Mempelam di sini.