Pencarum Islam perlu sokong Simpanan Shariah

Iklan
Pencarum KWSP beragama Islam digalakkan menyokong inisiatif Simpanan Shariah KWSP bagi membantu mengembangkan pasaran modal kewangan Islam negara ini ke tahap lebih kompetitif. Foto kecil: Shahrul Azman

SHAH ALAM - Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beragama Islam digalakkan menyokong inisiatif Simpanan Shariah KWSP bagi membantu mengembangkan pasaran modal kewangan Islam negara ini ke tahap lebih kompetitif.

Pakar kewangan Islam, Dr Shahrul Azman Abd Razak berkata, pendedahan tokoh kewangan Islam, Dr Zaharuddin Abd Rahman sebelum ini menyatakan hanya 20.1 peratus pencarum beragama Islam memilih Simpanan Shariah hakikatnya agak menyedihkan.

Iklan
Iklan

Tambahnya, ini kerana pada saat kadar dividen tertinggi KWSP kebiasaannya menjadi tumpuan pencarum, opsyen instrumen simpanan atau pelaburan patuh syariah sepatutnya menjadi keutamaan umat Islam.

Jelasnya, meskipun Simpanan Konvensional KWSP mungkin menawarkan pulangan dividen tahunan lebih tinggi, kebebasan dana itu dilabur dalam industri bercampur halal atau tidak halal serta instrumen tidak patuh syariah, mendedahkan hasil perolehan keuntungan kepada ‘syubhah’.

Iklan

"Atas sebab itu bagi mereka yang mementingkan halal dan keberkatan pada tahap maksimum, perlulah beralih ke akaun Simpanan Shariah atau lakukan pembersihan.

"Pada masa sama, jika lebih banyak dana caruman dikumpul KWSP bagi tujuan pelaburan patuh syariah, pasaran modal bisnes berasaskan Islam bukan sahaja akan semakin berkembang malah secara automatik akan mewujudkan lebih banyak permintaan terhadap produk-produk dikeluarkan usahawan Islam,” katanya kepada Sinar Ahad.

Iklan

Tahun lalu, Dr Zaharuddin yang juga pakar pelaburan patuh syariah berpesan agar pencarum KWSP beragama Islam yang belum beralih ke Simpanan Shariah agar berbuat demikian.

Jelasnya, dana KWSP bagi Simpanan Konvensional dilaburkan secara bercampur, dengan 66 peratus daripada pendapatannya adalah daripada pelaburan tidak patuh syariah seperti perbankan nasional, insurans dan kadar faedah.

Zaharuddin sebelum ini turut membangkitkan statistik KWSP sehingga 31 Disember 2023, yang menunjukkan hanya 20.1 peratus pencarum beragama Islam memilih Simpanan Shariah.