SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen masing-masing 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah 2024 sekali gus tertinggi dalam tempoh tujuh tahun sejak 2017.
Dalam kenyataannya, Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, angka berkenaan membabitkan agihan sejumlah RM63.05 bilion bagi Simpanan Konvensional dan RM10.19 bilion untuk Simpanan Shariah.
Beliau berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk 2024 sebanyak RM73.24 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 16 juta ahli.
"Bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion, meningkat 11 peratus berbanding RM66.99 bilion yang direkodkan pada 2023. Jumlah ini adalah setelah mengambil kira turun nilai kos ke atas sekuriti tersenarai bagi tahun itu.
"Aset pelaburan KWSP mencapai RM1,249.71 bilion, naik 10 peratus daripada RM1,135.82 bilion pada 2023. Peningkatan ini didorong oleh pendapatan portfolio yang kukuh serta jumlah caruman bersih sebanyak RM108.22 bilion yang naik 11 peratus daripada RM97.56 bilion pada 2023," katanya.
KWSP turut mengadakan sesi taklimat prestasi kewangannya tahun 2024 yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn di sini pada Sabtu.
Penganalisis dan pakar ekonomi sebelum ini meramalkan KWSP akan mengumumkan kadar dividen bagi 2024 dalam julat 6.0 hingga 6.2 peratus didorong oleh keadaan ekonomi global serta domestik yang memberangsangkan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan terdahulu turut menjangkakan KWSP bakal memberi pulangan yang baik dari segi dividen kepada pencarumnya daripada prestasi memberangsangkan KWSP pada suku ketiga tahun lalu.
Katanya, berdasarkan prestasi kukuh KWSP pada suku ketiga 2024 berkenaan, pencarum boleh mengharapkan berita gembira berkaitan agihan dividen yang lebih baik bagi tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya.
Untuk rekod, kadar dividen KWSP bagi Simpanan Konvensional adalah 6.35 peratus pada tahun 2013, 6.75 peratus (2014), 6.4 peratus (2015), 5.7 peratus (2016), 6.9 peratus (2017), 6.15 peratus (2018), 5.45 peratus (2019), 5.2 peratus (2020), 6.10 peratus (2021) dan 5.35 peratus (2022), 5.50 (2023).
Bagi Simpanan Shariah, kadar dividen yang direkodkan ialah 6.4 peratus (2017), 5.9 peratus (2018), 5 peratus (2019), 4.9 peratus (2020), 5.65 peratus (2021) dan 4.75 peratus (2022), 5.40 (2023).
KWSP kini mempunyai 16.2 juta ahli dengan 8.8 juta daripadanya adalah pencarum aktif.
Mohd Zuki berkata, agihan dividen lebih tinggi berkenaan didorong oleh pemulihan pasaran global dan domestik, pertumbuhan ekonomi yang kukuh serta pengurusan portfolio yang berhemah.
"Dengan memanfaatkan perkembangan positif ini, strategi pelaburan kami yang pelbagai membolehkan kami meraih peluang pertumbuhan, mengoptimumkan pulangan dan memperkukuh jaminan kewangan jangka panjang untuk ahli kami.
"Di peringkat domestik, pelaburan yang kukuh, pasaran buruh yang sihat dan inflasi yang stabil telah merangsang permintaan sementara eksport mendapat manfaat daripada kestabilan global dan kitaran pertumbuhan teknologi,” ujarnya.
Mohd Zuki menjelaskan, di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, inisiatif kerajaan menerusi Belanjawan 2024 serta pelan strategik yang lebih luas di bawah kerangka Ekonomi Madani menarik pelaburan asing dan mengukuhkan ekonomi, selain mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan yang mampan.
Tegas beliau, ketidaktentuan pasaran yang dialami pada tahun 2024 menggariskan kepentingan Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP dalam mengharungi keadaan ekonomi yang mencabar.
"SAA memainkan peranan penting dalam mengekalkan prestasi portfolio yang stabil memastikan ketahanan jangka panjang portfolio pelaburan KWSP.
"Dengan mengimbangi risiko dan pulangan, pendekatan ini bukan sahaja melindungi dana daripada ketidaktentuan pasaran, tetapi juga menyokong pembayaran dividen yang mampan untuk ahli kami," katanya.
Semua ahli boleh menyemak penyata terkini mulai Ahad (2 Mac) dan masing-masing digalakkan membuat semakan menerusi aplikasi KWSP i-Akaun.
Ketika ini, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1 peratus (2023: 3.6 peratus) dengan pasaran saham menunjukkan kekuatan yang ketara.
Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatat pertumbuhan dua angka sebanyak 12.9 peratus (2023: -2.7 peratus) dan memuncak pada 1,678.80 mata pada Ogos, paras tertinggi sejak Disember 2020.
Semalam TNB dlm pengumuman keputusan kewangan tahun 2024 turut menyatakan bahawa KWSP adalah antara penerima terbesar pembayaran dividen syarikat tersebut.