SHAH ALAM - Umat Islam digesa menjunjung Nabi Muhammad SAW sebagai ikon dan teladan utama memperjuangkan nilai kejujuran, integriti dan amanah dalam kehidupan seharian.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, sikap jujur dan berintegriti dimiliki Rasulullah SAW menjadikan Baginda diberi gelaran Al-Amin, yang bermaksud ‘yang paling dipercayai’, sebelum diangkat oleh ALLAH SWT sebagai Rasul.
Menurut Jais, meskipun masyarakat Quraisy Makkah pada awalnya menentang ajaran Islam, mereka tetap mempercayai Nabi Muhammad SAW untuk menyimpan barang-barang berharga dan harta benda mereka kerana kejujuran dan amanah dimiliki Baginda.
"Kejujuran, amanah dan integriti adalah prinsip utama yang mesti diterapkan dalam kehidupan kita. Ini bukan sekadar retorik, tetapi nilai yang menjadi asas kepada kejayaan umat Islam, baik di dunia mahupun akhirat,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Jais turut merujuk kepada kata-kata Saidina Abu Bakar RA ketika dilantik sebagai khalifah yang menegaskan bahawa pemimpin harus sentiasa terbuka untuk ditegur jika berlaku kesilapan.
"Jujur itu amanah dan dusta itu khianat. Malah, setiap pemimpin harus bertanggungjawab atas amanah yang diberikan dan sentiasa menjaga integriti dalam kepimpinan mereka,” katanya.
Menurut Jais, kejujuran bukanlah satu kelemahan, tetapi sifat itu adalah kekuatan yang membina kredibiliti dan kehormatan seseorang.
"Kejujuran adalah asas kepada pembentukan masyarakat yang stabil dan bermaruah,” tegas beliau.
Beliau berkata, Islam sangat menekankan integriti, selari dengan perintah ALLAH SWT yang memerintahkan supaya setiap Muslim untuk sentiasa berlaku jujur dalam semua aspek kehidupan, termasuk perniagaan, pemerintahan dan hubungan sosial.
"Kejujuran adalah tanda keimanan, seperti sabda Nabi Muhammad SAW: Tinggalkanlah perkara yang meragukanmu, ambillah yang tidak meragukanmu. Sesungguhnya kejujuran membawa kepada kebaikan dan kebaikan membawa ke syurga. - (HR Tirmizi).
"Perubahan dalam masyarakat bermula dengan diri sendiri. Jangan hanya mengharapkan orang lain untuk berbuat jujur, kita harus menjadi contoh yang baik dan mempraktikkan nilai kejujuran dalam kehidupan seharian,” jelasnya.
Jais menekankan bahawa amanah adalah tanggungjawab besar, seperti diajarkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabda hadis: Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab atas yang dipimpinnya. - (HR Bukhari & Muslim).
Beliau juga menyatakan bahawa kejujuran membawa keberkatan, seperti sabda Rasulullah SAW: Pedagang yang jujur akan bersama para nabi, siddiqin, dan syuhada di akhirat. - (HR Tirmizi).
"Islam mengajar kita bahawa kejayaan sebenar bukan hanya di dunia, tetapi juga di akhirat. Kejujuran adalah kunci kepada kejayaan tersebut.
"Umat Islam perlu kembali menghayati nilai-nilai kejujuran dan integriti dalam kehidupan seharian, demi memastikan keharmonian dan kemakmuran negara terus terpelihara,” tambah beliau.