KOTA TINGGI – ASEAN bertekad memperluaskan kerjasama ekonomi dengan lebih banyak negara tanpa berpihak kepada mana-mana kuasa besar bagi memastikan kestabilan perdagangan serantau.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, strategi itu akan mengukuhkan kedudukan ASEAN dalam ekonomi global.
"Dengan menambah lebih banyak rakan dagang, ASEAN tidak terikat kepada mana-mana pihak dan kekal berkecuali.
"Kita sudah menjalin pelbagai perjanjian perdagangan dan perkongsian ekonomi sejak sekian lama,” katanya selepas mempengerusikan Permukiman Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di Desaru pada Jumaat
Hadir sama, Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Tengku Zafrul berkata, ASEAN kini menaik taraf perjanjian perdagangan dengan China dan India serta memulakan rundingan dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
"Kami berharap dapat mengumumkan kenyataan hasrat pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Mei ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa ASEAN sedang berusaha meningkatkan perdagangan dalam kalangan negara serantau yang kini berada di bawah 25 peratus.
"Angka ini boleh ditingkatkan melalui pemodenan perjanjian sedia ada seperti Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA),” katanya.
Dalam perkembangan lain, ASEAN turut mempercepatkan rundingan Perjanjian Kerangka Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang dijangka menjadi pemacu utama transformasi digital serantau.
"ASEAN juga membincangkan pelaksanaan Nombor Pendaftaran Perniagaan Unik ASEAN (UBIN) bagi memudahkan urusan perdagangan merentas sempadan,” katanya.
Mesyuarat itu turut meneliti 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) 2025, termasuk pemodenan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ASEAN-China FTA 3.0) dan dasar pembangunan kenderaan elektrik ASEAN.
Malaysia juga menyokong penuh usaha menjadikan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN bagi mengukuhkan potensi pertumbuhan ekonomi serantau.