Lima penjawat awam disiasat kes 'lepaskan' warga asing di KLIA

Iklan
Beberapa warga asing ditahan AKPS ketika cuba bolos melalui KLIA Terminal 2, Sepang.

SEPANG - Lima penjawat awam yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, di sini, disiasat berhubung cubaan warga asing bolos secara tidak sah.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan berkata, 12 warga Vietnam dan Kemboja telah ditahan semasa cubaan untuk bolos keluar dari Malaysia melalui KLIA Terminal 2 pada 28 Januari serta 12 Februari lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tiga warga Vietnam dan sembilan warga Kemboja dikesan oleh Pasukan Pemantau AKPS KLIA di ruang menunggu sebelum memasuki pesawat di Terminal 2 KLIA dalam keadaan mencurigakan.

"Pasukan Pemantau AKPS KLIA telah menahan kesemua warga asing terbabit sebelum didapati memiliki cap keluar dan masuk yang dipercayai tidak tulen dan diperoleh secara tidak teratur.

Iklan

"Mereka ini juga telah melakukan kesalahan tinggal lebih masa di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, tiga warga Vietnam terbabit telah diusir keluar, manakala sembilan lagi warga Kemboja masih ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Iklan

Tegasnya, AKPS KLIA telah bertindak menukarkan segera lima orang pegawai yang disyaki terlibat selain disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Penjawat Awam 1990.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang melanggar peraturan dan mencemarkan imej perkhidmatan awam," ujarnya.