KOTA TINGGI – Pelajar Tingkatan Enam yang maut selepas kereta dipandunya terbabas dan jatuh ke dalam gaung di Jalan Lok Heng-Mawai di sini pada Khamis, ditemukan masih lengkap berpakaian baju raya.
Mangsa, Nor Adnin Sabtu, 19, disedari terlibat dalam kemalangan selepas kakaknya mengesan lokasi terakhir adiknya itu melalui aplikasi penjejak yang dipasang di telefon bimbit mangsa.
Kakak mangsa, Norhasikin Sabtu, 34, berkata, mereka sekeluarga mula risau apabila adiknya tidak pulang dari sekolah seperti kebiasaan sebelum usaha mencarinya menemukan kereta dipandu mangsa terjunam ke dalam gaung di Kilometer 32, Jalan Lok Heng-Mawai.
"Biasanya dia sampai rumah sekitar jam 3 petang tetapi semalam dia langsung tidak pulang. Apabila kami semak aplikasi penjejak, lokasinya tidak bergerak selama beberapa jam.
"Saya cari di hospital sekiranya dia terlibat kemalangan tetapi tiada," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) pada Jumaat.
Dia berkata, sekitar jam 5 petang, kakak sulung ke lokasi yang ditunjukkan aplikasi penjejak di telefon pintar dan menemukan keretanya sudah terbabas.
"Adik saya berada di dalamnya... masih lengkap berbaju raya tetapi sudah tidak bernyawa," katanya sebak.
Menurutnya, arwah baru sahaja membeli baju raya tersebut untuk dipakai ke satu majlis di sekolah pada hari kejadian.
"Pagi semalam dia kelihatan sangat cantik. Kakak sulung sempat memuji tetapi dia hanya senyum tanpa berkata apa-apa.
"Tak sangka, itu kali terakhir kami melihatnya," luahnya.
Norhasikin berkata, kehilangan adiknya itu seolah-olah menyusuli pemergian ibu mereka yang meninggal dunia akibat kanser lima bulan lalu.
"Kami reda dengan pemergiannya dan jenazah akan disemadikan bersebelahan kubur ibu di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 2," katanya.
Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kemalangan jam 6.50 petang.
Katanya, kenderaan yang dipandu mangsa berusia 19 tahun dalam perjalanan ke sekolah itu dipercayai telah hilang kawalan, lalu terbabas dan jatuh ke dalam gaung berhampiran.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal di lokasi kejadian.