Lelaki Bangladesh pukul anjing depan rumah kedai ditahan

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki memukul seekor anjing di kawasan rumah kedai di Senai, Kulai.

KULAI - Polis menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang disyaki melakukan khianat terhadap seekor anjing dalam kejadian di kawasan rumah kedai, Senai.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, suspek berusia 45 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan selepas video kejadian berkenaan tular di media sosial.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 1.09 petang, Isnin lalu dan laporan polis dibuat oleh seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun.

"Hasil pemeriksaan mendapati anjing terbabit kini dalam keadaan stabil dan dijaga rapi oleh seorang lelaki tempatan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Seng Lee berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai pada pagi Jumaat untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Iklan

"Kes juga disiasat di bawah Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh membawa hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda antara RM20,000 hingga RM100,000, atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan penganiayaan terhadap haiwan serta meningkatkan kesedaran mengenai perlindungan haiwan.

Sebelum itu, video berdurasi beberapa saat yang menunjukkan seorang lelaki memegang objek seperti kayu dan kemudiannya berlari memukul seorang anjing di tepi bangunan rumah kedai.