PARIS - Seorang remaja perempuan telah ditahan kerana membuang bayinya yang baru dilahirkan dari tingkat dua di sebuah hotel di Paris, Perancis dan meninggal dunia.
Menurut laporan CNN, Pejabat Pendakwa Raya Paris berkata, wanita warganegara Amerika Syarikat (AS) itu dibawa ke hospital untuk menjalani pembedahan selepas melahirkan anak dan kemudiannya diletakkan di bawah jagaan polis.
Ujarnya, bayi yang didakwa dibuang dari tingkap hotel pada Isnin itu telah dibawa ke rawatan kecemasan tetapi tidak terselamat.
"Ibu kepada bayi tersebut adalah sebahagian daripada kumpulan dewasa muda yang melancong di Eropah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Pejabat Pendakwa Raya berkenaan, pihaknya juga telah membuka satu siasatan ke atas pembunuhan seorang kanak-kanak di bawah umur.
Katanya, terdapat kemungkinan wanita muda itu tidak menyedari kehamilannya atau menafikannya.
Dalam kemas kini seterusnya kepada CNN pada Rabu, Pejabat Pendakwa Raya Paris mengesahkan wanita itu telah ditempatkan dalam penjagaan psikiatri polis.