KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Seorang pelajar perempuan maut ketika dalam perjalanan ke sekolah selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di Kilometer 32 Jalan Lok Hwng-Mawai di sini pada petang Khamis.
Difahamkan mangsa, Nurul Adnin Sabtu yang berusia 19 tahun dan merupakan pelajar Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian tersebut kira-kira jam 6.50 petang.
"Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga merah dipandu pelajar terbabit dipercayai hilang kawalan, lalu terbabas dan jatuh ke dalam gaung berhampiran.
"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, mayat dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan siasatan dan kes masih dalam siasatan polis bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penguasa Bomba Kanan Mohd Rafi Mohd Nor berkata, tujuh anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Setibanya di lokasi, kami mendapati sebuah kereta jenis Proton Saga telah terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 7 meter di Jalan Sri Perani menuju Felda Bukit Aping.
"Pemeriksaan lanjut mendapati seorang mangsa berada dalam kereta tersebut. Pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk membawa mangsa naik ke kawasan selamat," ujarnya.
Bagaimanapun beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 7.48 malam.