KUANTAN – Kenaikan harga santan sehingga RM20 sekilogram memberi kesan besar kepada peniaga bazar Ramadan yang bergantung pada bahan tersebut untuk penyediaan kuih-muih dan masakan berasaskan santan.
Rata-rata mereka mendakwa terpaksa mencari alternatif seperti santan kotak dan susu cair, namun tidak semua resipi sesuai dengan pengganti tersebut.
Peniaga kuih-muih, Farah Umiah Abu Bakar, 40, mengakui kenaikan harga santan segar memberi kesan kepada kos perniagaannya.
Menurutnya, bagi memastikan harga kuih-muih kekal berpatutan, dia terpaksa mencari alternatif lain tanpa menjejaskan kualiti rasa.
"Santan kotak dulu RM12 sekilogram sekarang dah cecah RM16 hingga RM18, sudah la santan segar harga hampir RM20 sekarang ini.
Ibu kepada sembilan anak itu memberitahu, penggunaan susu cair sebagai alternatif hanya sesuai untuk sesetengah resipi, tetapi bagi kuih yang memerlukan tekstur lemak pekat, santan segar masih menjadi pilihan utama.
"Kalau guna susu cair, rasa memang berbeza. Pelanggan yang biasa dengan rasa asli kuih pasti dapat bezakan.
"Tapi nak buat macam mana, kos meningkat dan kami peniaga kecil hanya mampu bertahan dengan cara ini,” katanya.
Bagi, peniaga nasi kerabu, Husmanezan Mat Hassan, 45, berkata, kenaikan harga bukan sahaja membabitkan santan, tetapi kelapa parut yang digunakan dalam sambal kelapa.
"Kami cuba beralih kepada santan kotak dan susu cair untuk kurangkan kos, tapi tak semua lauk sesuai.
"Gulai kari boleh guna susu cair, tapi, pajeri dan lemak cili api tetap perlukan santan segar. Kalau harga terus naik, kami mungkin terpaksa kurangkan kuantiti lauk,” katanya.
Bagaimanapun, ibu kepada empat anak itu berharap harga santan kembali stabil agar mereka dapat terus berniaga tanpa menjejaskan kualiti makanan.
"Kami tak mahu bebankan pembeli," ujarnya ringkas.
Sementara itu, peniaga makanan, Fait Amran, 57, berkata, tidak semua hidangan boleh digantikan dengan santan kotak atau susu cair.
"Masakan seperti gulai kawah, masak lemak cili api dan rendang memang tak boleh lari daripada santan segar.
"Kalau guna santan kotak atau susu cair, rasa memang berbeza. Pelanggan yang biasa dengan keaslian rasa pasti dapat bezakan," katanya.