RAMALLAH - Ratusan tahanan Palestin akhirnya dibebaskan pada Khamis di bawah perjanjian pertukaran tahanan terakhir selepas proses itu ditangguhkan Israel selama hampir seminggu hingga meningkatkan semula ketegangan di rantau tersebut.
Pembebasan seramai 642 tahanan Palestin dari Penjara Ofer itu dibuat seperti dipersetujui pada fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 19 Januari lalu.
Kepulangan mereka termasuk tahanan yang dihukum penjara seumur hidup disambut tangisan kegembiraan ahli keluarga yang setia menanti di Tebing Barat.
Difahamkan, seramai 97 daripadanya dibawa ke lintasan Rafah untuk dihantar ke Mesir.
Terdahulu, pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan penerimaan keranda empat tawanan yang terkorban di Gaza.
Hamas juga akur untuk mengembalikan keempat-empat keranda itu secara privasi bagi mengelakkan Israel mencari alasan untuk menangguhkan proses pembebasan tahanan.
Sebelum ini, Netanyahu mengecam upacara pembebasan termasuk penyerahan 'cenderahati' dilakukan terhadap tawanan dibebaskan Hamas yang didakwa kononnya melanggar perjanjian gencatan senjata tersebut.
Sementara itu, Hamas dalam satu kenyataan menegaskan Israel tidak mempunyai pilihan selain memulakan fasa kedua rundingan damai.
"Kami telah menghalang sebelum musuh membuat justifikasi palsu lagi. Rundingan seterusnya bakal berlangsung di Doha atau Kaherah yang menjadi perantara proses damai fasa pertama,” katanya. - Agensi