SHAH ALAM – Kerajaan dijangka melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini dengan satu mekanisme terbaik bakal dikenal pasti bagi memastikan manfaatnya sampai kepada kumpulan sasar.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan kini berada dalam fasa akhir merangka sistem penyasaran yang adil dan berkesan bagi memastikan pelaksanaannya mencapai objektif ditetapkan.
Menurutnya, kerajaan juga memberi jaminan bahawa penyasaran subsidi ini tidak akan menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan secara tidak terkawal.
"Pada masa ini, kumpulan sasar yang akan menggunakan kad fleet bersubsidi sedang dikenal pasti menerusi perbincangan antara KPDN, Kementerian Kewangan serta Kementerian Pengangkutan, khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen pada Khamis.
Beliau menjawab pertanyaan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta KPDN menjelaskan sama ada pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini akan menyebabkan peningkatan harga barang dan kos sara hidup rakyat.
Mengulas lanjut, Armizan menegaskan bahawa petrol RON97 tidak termasuk dalam penyasaran subsidi kerana bahan api tersebut telah diapungkan sejak Jun 2018.
Beliau turut menjelaskan bahawa pemberian petrol bersubsidi kepada kumpulan sasar yang tepat mampu mengekalkan kos perkhidmatan serta penghantaran barangan keperluan rakyat, sekali gus mengelakkan peningkatan kos sara hidup.
Dalam usaha membendung manipulasi harga barang, KPDN akan mempertingkatkan penguatkuasaan menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2018.
"Melalui peraturan ini, kerajaan akan melaksanakan Ops Kesan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah akibat penyasaran subsidi,” katanya.
Selain itu, kerajaan juga terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meringankan beban rakyat, antaranya Skim Harga Maksimum Musim Perayaan, Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di seluruh negara serta Budi MySubsidi Diesel bagi memastikan syarikat pengangkutan awam dan barangan terus menerima diesel bersubsidi menerusi kad fleet.
"KPDN turut memperluaskan Program Pengedaran Barang Perlu ke kawasan pedalaman dan memperkenalkan inisiatif KITA GEMPUR bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
"Kementerian berharap usaha ini dapat dipikul secara bersama menerusi kerjasama erat antara kerajaan, pihak industri dan rakyat,” katanya.