IPOH - Polis sedang mengesan pemilik akaun media sosial yang mengeluarkan komen jelik dan berbaur fitnah terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan dijalankan selepas menerima laporan daripada Pemuda UMNO Perak pada Rabu.
"Pihak kita telah buka siasatan dan akan mengesan suspek mengikut prosedur yang sepatutnya dalam menjalankan siasatan. Kita memberi penekanan terhadap isu ini kerana ia melibatkan pemimpin tertinggi negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pemakaian pangkat Senior Asisten Komisoner Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam IPK dan menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Sungai Siput dan Tapah di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini pada Khamis.
Sinar Harian melaporkan Pemuda UMNO mengesan satu hantaran komen di Facebook sebuah portal berita pada 1 Februari lalu yang mana individu berkenaan telah menulis 'Ketua Barua Kafir Harbi Perak' di ruangan komen pautan berita bertajuk 'JAIPk diminta siasat khatib tidak baca khutbah Jumaat disediakan' yang memaparkan gambar Saarani.
Sementara itu, Noor Hisam berkata, siasatan turut dijalankan terhadap laporan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkaitan teks khutbah.
Tambahnya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.
Selasa lalu, Hasnul Zulkarnain membuat laporan polis terhadap Pas Kawasan Gerik selepas dipercayai membuat tuduhan tidak berasas berkait teks khutbah disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Menerusi satu rakaman video yang tular di media sosial mendapati, seorang pemimpin parti itu mendakwa khutbah di Perak telah dikuasai oleh kerajaan yang dikuasai DAP.