Bahagian tidak terbakar kapal angkasa Progress MS-28 Rusia jatuh di Lautan Pasifik

Iklan
Bahagian tidak mudah terbakar kapal angkasa kargo Progress MS-28 milik Rusia yang dipisahkan dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) telah jatuh ke Lautan Pasifik.

MOSCOW - Bahagian tidak mudah terbakar kapal angkasa kargo Progress MS-28 milik Rusia yang dipisahkan dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) telah jatuh ke Lautan Pasifik, lapor Agensi Berita Russia (TASS) dengan memetik Perbadanan Angkasa Negara Rusia, Roscosmos.

"Hari ini, kapal yang membawa bekalan dan berada di ISS selama setengah tahun telah keluar dari orbit, sebelum memasuki semula lapisan atmosfera yang padat dan hancur.

Iklan
Iklan

"Menurut data Pusat Kawalan Penerbangan TsNIImash, bahagian kapal angkasa yang tidak mudah terbakar itu jatuh di kawasan tidak dilalui kapal di selatan Lautan Pasifik," menurut Roscosmos dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kapal angkasa kargo itu berlepas dari stesen angkasa pada jam 11.17 malam waktu Moscow pada 25 Februari dan beralih kepada mod penerbangan autonomi.

Iklan

Progress MS-28 tiba di ISS pada 17 Ogos dengan membawa 2.6 tan peralatan saintifik, pakaian, bekalan makanan dan hadiah untuk angkasawan Russia serta kargo berguna yang lain.

Progress MS-28 mengosongkan ruangnya untuk kapal membawa bekalan Progress MS-30 dengan pelancarannya dijadualkan pada 28 Februari. - Bernama/TASS

Iklan