Zul Ariffin usaha kehidupan yang lebih baik

Iklan
Impi kehidupan yang lebih baik, Zul mengakui sudah berusaha ke arah itu.

UNGKAPAN 'hidup lelaki bermula di usia 40 tahun' sering dikaitkan dengan kematangan, kestabilan dan pencapaian dalam kehidupan seseorang lelaki.

Justeru, aktor terkenal, Zul Ariffin, 39, berusaha mencapai manifesto untuk mengubah banyak perkara dalam hidupnya.

Iklan
Iklan

Mengakui perjalanan yang dilalui tidak mudah, namun beliau bersyukur kerana diberikan kesempatan oleh ALLAH SWT dan membuka matanya mengenai kehidupan.

"Harap sebelum usia mencecah 40 tahun, saya mahu membuat banyak perubahan. Pernah bercakap dengan diri sendiri, tidak mahu kehidupan saya kelihatan tiada beza antara usia 20-an, 30-an dan 40-an.

Iklan

"Namun perjalanan itu masih ada perkara yang sukar, tetapi saya anggap semua itu sebagai satu proses,” katanya.

Tambah pemilik nama penuh Zulkifli Ariffin itu, beliau bukan individu atau selebriti yang gemar membuat pengumuman mengenai perubahan diri.

Iklan

Dalam masa sama, beliau tidak mahu setiap kenyataan yang dibuat akhirnya memakan diri.

"Kalau ada yang perasan, genre filem saya pun telah berubah sejak beberapa tahun lalu.

"Cuma saya bukan jenis orang yang buat pengumuman atau kenyataan yang boleh memakan diri. Saya perlu solid dengan keputusan yang dibuat.

"Usia 30 tahun bukan waktu untuk berasa ragu-ragu tentang kehidupan. Lagipun, saya bukan budak-budak lagi, akan mencecah usia 40 tahun tidak lama lagi,” kongsinya yang tidak menafikan berhasrat untuk mendirikan rumah tangga sekiranya sudah sampai seru.

Tertarik

Beralih kepada kerjaya dalam dunia lakonan, anak kelahiran Taiping, Perak itu meluahkan rasa syukur kerana dirinya masih diperlukan dalam industri tersebut.

Zul ditemui di lokasi filem Wantugo bersama Sein Qudsi, Meerqeen, Sky Iskandar, Daiyan Trisha, Elizabeth Tan, Nia Atasha, Yusof Hashim (Ucop), Arfie Shah dan ramai lagi.

Zul teruja kerana dapat terlibat dalam penerbitan filem Wantugo.

Dalam filem tersebut, Zul memegang watak Khalif, rakan kepada Azam yang dijayakan Sein dan terperangkap bersama sekumpulan sahabat yang menghadiri majlis perjumpaan semula dan perlu bermain permainan yang tidak dijangka.

"Konsep cerita seperti ini mungkin sudah banyak di luar negara, tetapi di Malaysia, ia masih baru. Itu yang membuatkan saya lebih berminat untuk terlibat,” katanya.

Sebagai pelakon yang berpengalaman, Zul melihat kepentingan memahami peranan dengan baik supaya ia menyatu dengan jalan cerita secara keseluruhan.

"Saya lebih fokus kepada adegan utama. Ini membantu untuk tidak terlalu memikirkan babak lain dan memastikan watak saya disampaikan dengan baik,” jelasnya yang bakal memulakan penggambaran Sheriff 2 selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Ramadan

Selain sibuk dengan kerjaya, bintang utama Sangkar itu tidak menafikan menanam impian untuk menunaikan umrah sekali lagi sebelum musim haji bermula.

Tidak menolak kemungkinan berpuasa atau berhari raya di Tanah Suci Makkah.

Malah jika diberikan kesempatan, beliau bersedia untuk menunaikan haji sekali lagi pada tahun ini.

"Dulu waktu cuti saya memang habis begitu sahaja. Sekarang, bila sudah berumur, saya lebih memilih untuk bercuti ke tempat yang lebih bermakna.

"Saya ada juga merancang untuk menyambut Aidilfitri di Tanah Suci, cuma buat masa sekarang masih terikat dengan jadual kerja. Sekiranya ada rezeki, saya memang tidak kisah untuk menunaikan umrah pada bulan Ramadan atau beraya di sana. Bergantung pada keadaan,” kata Zul mengakhiri perbualan.