Pekerja tapak pembinaan terkejut temui bom lama masih aktif di Kinarut

Iklan
Bom lama dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua ditemukan di kawasan tapak pembinaan berhampiran sebuah kilang di Papar.

PAPAR - Seorang lelaki yang sedang melakukan kerja mengorek tanah menggunakan jentera berat terkejut apabila menemui sebutir bom lama dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua di kawasan tapak pembinaan berhampiran sebuah kilang di Kinarut, di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, lelaki berusia 42 tahun itu kemudian bertindak melaporkan penemuan bahan letupan itu di Balai Polis Kinarut untuk tindakan lanjut.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, menurut laporan, pengadu yang melakukan kerja mengorek tanah terlihat satu objek besar yang masih belum dapat dipastikan.

"Pengadu kemudiannya telah mengorek secara perlahan sehingga berjaya mengeluarkan objek tersebut dari dalam tanah dan mendapati ia merupakan bom lama yang tertimbus.

Iklan

"Susulan aduan yang dibuat, pegawai penyiasat pergi ke lokasi bersama dengan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis (IPD) Papar dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah untuk pemeriksaan lanjut dan mendapati bom yang ditemui itu masih aktif.

"Bahan letupan itu dipercayai bom peninggalan sejak zaman Perang Dunia Kedua," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, pihak polis datang semula ke lokasi kejadian pada jam 8 pagi Rabu untuk membuat persediaan meletupkan bom tersebut.

"Beberapa jalan raya akan ditutup bagi mengelakkan pengguna melalui kawasan itu.

"Pihak Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) juga telah dimaklumkan supaya menghentikan operasi sementara waktu ketika letupan dijalankan dan hebahan kepada penduduk setempat turut dilaksanakan supaya tidak menghampiri kawasan tersebut bagi mengelakkan sebarang kemungkinan," katanya.

Kamaruddin berkata, selain JKNS, beberapa agensi seperti Jabatan Alam sekitar (JAS), Jabatan penerbangan, Sabah Electricity dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut sama memberikan kerjasama serta nasihat sebelum letupan di laksanakan.